mk-logo
Berita
Mukhriz dan rakan dicabar keluar Umno
Diterbitkan:  May 23, 2008 2:53 AM
Dikemaskini: 2:54 AM

Pergerakan Pemuda Umno Perak mencabar ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan ahli-ahli exco pergerakan yang menyokongnya, supaya keluar dari Umno.

Ketua Pemuda Umno Perak Zainol Fadzi Paharudin berkata Mukhriz yang juga exco pergerakan bersama-sama dengan anggota-anggota exco yang menyokongnya wajar meletak jawatan dengan segera.

"Kalau begini sifat Mukriz dan rakan rakannya kepada Umno, hanya perjuangan yang penuh prasangka buruk dan jumud, mereka wajar letak jawatan dan keluar Umno," kata Ketua Pemuda Umno Perak Zainol Fadzi Paharudin satu kenyataan semalam.

Beliau berkata Pemuda Umno Perak juga mahukan supaya Jawatankuasa Pengurusan Umno mengambil tindakan tegas terhadap Mukriz dan lain-lain yang terlibat, demikian menurut laporan Bernama

"Umno tidak boleh membiar anggotanya membuat kenyataan sewenang-wenangnya sebegini... Umno adalah sebuah institusi yang bermaruah dan ada integriti, hak milik semua anggota," katanya.

Sementara itu Setiausaha Putera Umno Muhammad Yadzan Mohammad turut mencabar Mukriz bersama penyokongnya supaya keluar Umno.

"Kenyataan Mukhriz berbau ugutan dan menjadi gunting dalam lipatan...kita cabar beliau letak jawatan bersama exco-exco yang terlibat," kata Yadzan yang juga Ketua Pemuda Bahagian Tanjung Malim.

Zainol Fadzi dan Yadzan turut menyokong kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya Jawatankuasa Pengurusan parti mengambil tindakan disiplin terhadap Mukhriz.

Mukhriz ketika mengulas tindakan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno baru-baru ini meletakkan syarat sehingga Julai ini untuk Abdullah melepaskan jawatan parti dan kerajaan atau beliau akan bertindak keluar parti.

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS