Mulai Jumaat ini, semua kenderaan asing dilarang mengisi petrol dan diesel di stesen minyak di sempadan negara.
Larangan itu membabitkan stesen minyak dalam jarak 30 hingga 50km di kawasan sempadan negara, Perlis, Kedah, utara Perak, Kelantan dan Johor termasuk di Kulai dan Johor Bahru.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata arahan bertulis mengenai larangan tersebut, mengikut Akta Kawalan 1961 Bekalan, akan dikeluarkan kepada pengusaha stesen minyak terbabit dalam masa terdekat.
Sebelum ini, menurut Bernama, Shahrir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Menangani Inflasi di bangunan Parlimen yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Usaha itu adalah langkah tegas kerajaan untuk membantu mengurangkan ketirisan dan kebocoran subsidi yang membabitkan kos tinggi, yang seharusnya dinikmati rakyat berpendapatan rendah negara ini," katanya.
Beliau berkata larangan itu akan berkuatkuasa sehingga kementerian dapat menentukan sistem pengurusan subsidi yang sesuai untuk menyekat penjualan atau pembelian minyak secara optimistik.
Cadangan Fomca
Shahrir berkata pegawai kementerian akan ditempatkan di stesen berkenaan untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pemilik stesen yang engkar arahan itu.
Sabit kesalahan pengusaha stesen berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya manakala individu RM100,000 jika sabit kesalahan, katanya.
Beliau berkata sebelum ini didapati banyak kenderaan dari negara jiran datang membeli diesel dan petrol di stesen minyak di negara ini.
Dengan penguatkuasaan larangan itu, pelawat atau pelancong yang datang ke Malaysia perlu membeli bahan bakar itu di luar stesen berkenaan.
Shahrir berkata cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) supaya pemberian subsidi petrol dilakukan mengikut kuasa enjin kereta juga sedang dipertimbangkan.
