Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Kerajaan Selangor akan menyiasat hubungan kumpulan samseng yang didakwa diupah oleh syarikat konsesi lebuhraya Cheras-Kajang sehingga menimbulkan ketegangan berdarah di Bandar Mahkota Cheras (BMC) semalam.

"Kerajaan negeri akan memanggil (mesyuarat agung tergempar atau EGM) untuk membuat audit terhadap Grand Saga Sdn Bhd untuk mendapatkan penjelasan aliran kewangan untuk mengupah samseng tersebut," kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ini.

"Jika ada bukti syarikat (konsesi lebuhraya) tersebut ada berbuat demikian, kerajaan percaya pegawai-pegawai termasuk pengarah syarikat boleh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencedera."

khalid pc in suk on cheras mahkota 280508 Dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini, Khalid berkata Selangor tidak boleh mengetepikan hak orang awam walaupun anak syarikat kerajaan negeri memiliki saham dalam Grand Saga.

Keputusan memanggil EGM syarikat tersebut dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri petang ini.

Bagaimanapun Khalid tidak menyatakan tarikh mesyuarat tergempar itu akan diadakan.

Kerajaan negeri yang memiliki kepentingan dalam Kumpulan Perangsang Selangor Bhd, yang menjadi pemegang saham terbesar atau 20 peratus dalam Taliwork Bhd.

Syarikat ini pula mempunyai 55 peratus pegangan dalam Cerah Sama Sdn Bhd yang memiliki Grand Saga, syarikat kontroversi dengan penduduk BMC apabila terus-meneruskan berusaha membina penghadang konkrit di laluan ke taman perumahan tersebut.

Semalam, lebih 10 orang tercedera termasuk seorang wartawan Utusan Malaysia yang didakwa akibat dibelasah sekumpulan samseng upahan Grand Saga.

Majlis mesyuarat kerajaan negeri hari ini turut memutuskan untuk memastikan hadangan konkrit itu mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

cheras mahkota road grand saga barricade fru assault 280508 01 “Jika LLM mengesahkan bahawa ia telah memberi kelulusan untuk membina penghadang jalan tersebut, pihak kerajaan negeri akan meminta supaya penghadang itu dialihkan," kata Khalid lagi.

Tambahnya, Selangor berpendapat isu tersebut yang berlarutan bertahun-tahun, tetapi semakin teruk selepas pilihanraya umum 8 Mac, asalnya perbalahan Grand Saga dengan syarikat pemaju taman tersebut Narajaya Sdn Bhd.

Keputusan itu dicapai setelah mesyuarat memanggil pegawai kanan empat pihak terlibat dengan isu tersebut, termasuk Jabatan Kerjaraya dan Majlis Perbandaran Kajang.

Menurut Khalid lagi, kuasa Selangor terbatas kerana persempadanan lebuhraya melibatkan kuasa LLM yang ditadbir kerajaan persekutuan.

Exco negeri Elizabeth Wong, yang hadir di sidang media itu, mencadangkan menteri kerja raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamed sendiri harus turun padang untuk menyegerakan penyelesaian konflik.

"Cara paling cepat adalah menteri kerja raya turun padang, tengok keadaan di situ dan beri arahan. Itu saja," katanya.

Semalam, pekerja-pekerja Grand Saga membina semula penghadang konkrit, yang terus-menerus menimbulkan kontroversi, di jalan akses bebas tol di lebuhraya tersebut.

Mereka memulakan kerja tersebut pada kira-kira jam 1 pagi dan mengambil masa kira-kira 14 jam untuk menyiapkannya.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila penduduk BMC - yang cuba meruntuhkan benteng tersebut - bergelut dengan sekumpulan lelaki yang ditugaskan untuk mengawal benteng tersebut.

cheras mahkota road grand saga barricade 270508 stand off Menurut penduduk, sekurang- kurangnya 12 orang cedera selepas dibelasah oleh kira-kira 30 lelaki yang dipercayai "samseng".

Pertikaian berhubung pembinaan benteng di jalan tersebut yang membolehkan penggunanya mengelak bayaran tol, berlarutan sejak tiga tahun lalu tetapi ia sampai ke kemuncaknya pada 21 April lalu apabila penduduk di situ - dengan sokongan beberapa ahli exco kerajaan Selangor - bertindak memusnahkan penghadang yang dibina pada 2005.

Grand Saga kemudiannya membina semula benteng di situ, tetapi penduduknya bertindak memusnahkannya semula.

Bagaimanapun, percubaan Grand Saga untuk membina benteng konkrit setinggi tiga kaki - bagi kali ketiga - pada malam 8 Mei lalu terganggu, apabila polis melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penduduk yang berhimpun di situ.

Empat hari kemudiannya, penduduk gagal mendapatkan perintah dari Mahkamah Tinggi untuk menghalang syarikat konsesi lebuhraya itu mendirikan semula konkrit di jalan tersebut.

Selepas mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada Grand Saga, Zainal Abidin mengeluarkan notis kelmarin bahawa benteng konkrit akan dibina semula di situ dan berharap orang ramai tidak

mengengkari mahkamah.

Penduduk di kawasan berdekatan menggunakan laluan tersebut tanpa perlu membayar tol di Plaza Batu 11, Cheras sebelum pembinaan benteng tersebut.

Sejak wujud penghadang, mereka terpaksa memandu sejauh enam kilometer dan membayar tol 90 sen kepada Grand Saga.

ADS