BERITA

Najib harap ahli Gerakan terus setia

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Mei 2008, 12:03 tengahari

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap ahl-ahli Gerakan akan kekal dalam parti selepas dua pemimpin kanan parti anggota komponen Barisan Nasional (BN) itu telah menyertai kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berharap ahli-ahli parti tersebut masih yakin dengan masa depan BN.

tan kee kwong Najib mengulas tindakan Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Tan Kee Kwong menyertai kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Katanya, BN prihatin dengan perkembangan tersebut kerana sudah dua pemimpin Gerakan menyertai kerajaan pembangkang setakat ini.

Dr Tan menerima pelantikan mengetuai pasukan petugas bagi memperbaiki pentadbiran dan dasar berhubung masalah pemilikan tanah di Selangor.

lee kah choon Tan, 61, yang juga bekas timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi, mengikut jejak langkah bekas timbalan setiausaha agung Datuk Lee Kah Choon yang sebelum ini menerima tawaran kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat bagi mengetuai dua agensi kerajaan negeri - investPenang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Lee kemudiannya mengumumkan keluar dari Gerakan.

Sehubungan itu, Najib berkata, pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan itu tidak boleh mengekalkan kedudukannya dalam komponen BN setelah menyertai kerajaan pembangkang.

Dari segi moral, tindakan sedemikian adalah perlu, kata Najib selepas menghadiri mesyuarat tertutup dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan di sebuah hotel dekat Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Gerakan telah memberi surat tunjuk sebab kepada Tan mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya kerana menyertai kerajaan Selangor.

Setiausaha agungnya, Datuk Chia Kwang Chye berkata, surat tersebut, yang ditandatanganinya, telah dihantar kepada Tan hari ini.

Katanya, tindakan selanjutnya akan diputuskan selepas ini.

mukhriz mahathir Ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang meminta BN mengambil tindakan terhadap wakil rakyatnya, Datuk Mukriz Tun Dr Mahathir (Jerlun) dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) kerana kritikan menghina kerajaan atau Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Najib berkata ia akan dikaji.

Menurut Zaid, tindakan kedua-dua wakil rakyat itu mempertikaikan pelantikannya sebagai menteri dianggap satu penghinaan kepada dirinya, kerajaan dan perdana menteri.

Ketika ditanya bila beliau akan bertemu dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib berkata: "bila-bila masa".

Sebelum ini, Najib pernah berkata beliau akan menemui Dr Mahathir setelah bekas presiden Umno itu mengisytiharkan keluar bersyarat dari Umno.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.