Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSM: Pakatan Rakyat macam BN
Diterbitkan:  May 30, 2008 7:16 PM
Dikemaskini: Jun 3, 2008 4:36 AM

dikemaskini Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengkritik Pakatan Rakyat di kongresnya hari ini, dengan mendakwa pentadbirannya tidak jauh berbeza daripada Barisan Nasional yang menggunakan sistem kuota parti pemerintah dan kaum.

"(Pakatan Rakyat) nama baru disabitkan dengan harapan bahawa apa yang dilakukan berbeza dengan yang lalu.

"Malangnya pentadbiran dan pengagihan kerja berkisar pada kuota parti yang berjaya dan mengikut kuota kaum," kata pengerusi penaja PSM, Dr Mohd Nasir Hashim dalam ucapan dasarnya.

psm federal court pc 051006 nasir hashim "Tindakan seperti ini tidak berbeza dengan pemerintahan lalu. Maka demi menjaga kuota, kualiti akan dirobohkan."

Beliau, yang juga wakil rakyat Kota Damansara di Selangor yang menang atas tiket PKR, menyifatkan Pakatan mempunyai "hala tuju yang tidak jelas yang berpaut pada sistem yang berunsurkan penindasan dan berlandaskan pada mengejar keuntungan yang maksimum."

"Sistem ini pada dasarnya mendorong pada penggunaan kaum dan agama bagi mengatur dasar pembangunan negara.

"Sifat berjinak pada sistem kapitalis akan memunculkan era pemerintahan yang pada mulanya berbentuk liberal, diikuti dengan era cogan kata dan diakhiri dengan pemerintahan kuku besi," tambahnya di kongres tahunan ke-10 parti di Port Dickson.

Bagaimanapun tidak jelas sasaran kritikannya itu - sama ada merujuk pentadbiran baru dan pengagihan kuasa di Selangor atau empat lagi negeri lain.

Pakatan Rakyat - gabungan PAS, PKR dan DAP yang terbentuk selepas kejayaan besar pembangkang dalam pilihanraya umum 8 Mac - menguasai lima negeri, termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Selain Dr Nasir, ahli jawatankuasa PSM Dr Jayakumar Devaraj menang di parlimen Sungai Siput, Perak - juga atas tiket PKR.

Dr Nasir juga berkata pelbagai cadangan dikemukakan kepada PSM selepas kejayaan parti tersebut.

psm agm in port dickson 300508 01 "Soal antara reformasi dan revolusi akan terus dibincangkan. Soalnya sejauh mana PSM sanggup mendampingi Pakatan dalam usaha program minimumnya," katanya.

"Di samping itu, bagaimana PSM dapat memikat hati dan minda rakyat hingga rakyat sendiri menerima hakikat bahawa sosialisme itu benar dan menjadi pilihan utama dalam kehidupan mereka.

"Juga, apakah langkah taktik dan strategi yang harus kita lakukan demi mengatur langkah dalam keadaan peralihan ini (selepas 8 Mac)."

Daripada 20 usul yang bakal dibahaskan, satu daripadanya menyentuh masa depan kerjasama PSM dengan Pakatan dan ia dijadual dibentang petang esok.

Usulnya berbunyi, antara lain, sama ada PSM bersedia bertanding atas tiket sendiri atau seperti keadaan sekarang dalam pilihanraya akan datang, dan sama ada parti kecil itu - yang belum diluluskan pendaftarannya - sanggup berdepan dengan persaingan tiga penjuru.

Selain itu, empat kertas kerja turut dibentangkan menyentuh, antaranya, krisis makanan dan kerjasama selanjutnya PSM dengan Pakatan Rakyat.

psm agm in port dickson 300508 03 Kertas kerja yang bentangkan setiausaha agung PSM S Arutchelvan dan penulis Lee Ban Chen mengupas persoalan "sama ada parti itu bersedia membentuk kekuatan ketiga (antara Pakatan dan BN) atau menyokong sistem dua parti."

Jika keputusan kongres memutuskan PSM menyokong sistem dua parti, ia harus mengadakan hubungan positif dengan Pakatan.

Kongres tiga hari yang berakhir Ahad ini disertai 150 pemimpin dan aktivis PSM.

Malaysiakini difahamkan, tiada wakil parti-parti dalam Pakatan hadir di kongres ini walaupun mereka diundang.

Nota editor : Malaysiakini telah dimaklumkan oleh PSM pada 3 Jun 2008 bahawa parti itu tidak pernah mengundang wakil parti-parti politik sewaktu kongresnya, termasuk pada majlis pembukaan.

ADS