Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bersama keluarga Sanjeev Kumar Krishnan akan meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyiasat berita kemungkinan tahanan ISA itu dihantar ke Hospital Bahagia di Tanjong Rambutan.
Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha GMI, Nalini E berkata, memorandum isu tersebut akan diserahkan kepada Suhakam petang esok.
Bulan lalu, katanya, GMI dan keluarga Sanjeev telah membuat laporan polis terhadap Kementerian Dalam Negeri dan kem tahanan Kamunting kerana menahannya bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam laporan tersebut, mereka mendakwa Sanjeev tidak diberikan rawatan yang sepatutnya sehingga mengakibatkan keadaannya menjadi semakin kritikal.
Menurut Nalini, Sanjeev kini terpaksa menggunakan kerusi roda.
Sebelum ini, pengerusi GMI dilaporkan berkata, Sanjeev ditahan atas tuduhan menjadi "ejen perisik asing."
Dalam laporan yang dibuat di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 20 Mei lalu, isteri tahanan Sharmila Uthiakumar mendakwa suaminya didera dan gagal dirawat dengan rapi sehingga mengalami kelumpuhan.
Suami dibelasah
Dalam laporan tersebut, Sharmila mendakwa suaminya dibelasah dalam tempoh siasatan selama 55 hari sejak 28 Julai tahun lalu.
Selepas ditahan hampir dua bulan, dakwanya, suaminya dipindahkan ke kem tahanan Kamunting di Taiping mulai 22 September lalu.
Sharmila juga mendakwa akibat kesakitan yang dialami suaminya di bahagian tangan dan kaki kiri, Sanjeev terpaksa dibawa ke hospital Taiping bulan lalu tetapi tidak mendapat rawatan sewajarnya.
Pada malam hari yang sama (11 April lalu), dakwanya, Sanjeev mengadu sakit dan kali ini beliau telah dimasukkan dalam wad (hospital Taiping) kerana keadaan yang serius.
Seminggu kemudian, dakwanya, suaminya dibawa keluar dari hospital tersebut.
Namun, katanya, beliau kini menggunakan kerusi roda untuk kehidupan hariannya kerana kaki dan tangan sebelah kiri tidak lagi berfungsi dan beliau menjadi lumpuh.
