Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'UIA pusat gerakan anti-kerajaan'
Diterbitkan:  Jun 5, 2008 7:32 PM
Dikemaskini: Jun 6, 2008 2:54 AM

Berikut sedutan bahagian-bahagian utama kenyataan bertulis Tan Sri Sanusi Junid, setebal 13 halaman, mengenai keengganannya melepaskan jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Saya telah meminta kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menyambung jawatan sebagai menteri besar Kedah setelah pilihanraya 1999.

Walaupun Barisan Nasional menang dengan mendapat lebih dari dua pertiga jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi saya malu dengan prestasi bagi kawasan-kawasan parlimen di mana parti pembangkang mendapat majoriti kerusi.

Kerana insaf atas perpecahan umat Islam, bukan saja di Kedah, tetapi juga di seluruh dunia, maka saya telah berhasrat untuk mengkaji dan mempelajari sebab-sebab dan cara mengatasinya.

Dengan itu dapatlah umat Islam bersatu padu dalam semua bidang.

Untuk itu saya telah meneliti fakulti-fakulti yang ilmunya bersabit dengan Islam di semua universiti yang terkenal di dunia.

Di merata tempat yang saya lawati, saya telah mendapat saranan supaya belajar dan membuat kajian di UIA kerana di situlah paling banyak cerdik pandai dari seluruh dunia, dalam segala bidang ilmu pengetahuan.

Dalam satu pertemuan saya dengan Tun Dr Mahathir, beliau telah mencadangkan supaya saya bukan sahaja boleh belajar di UIA tetapi saya diminta untuk menjadi presidennya.

Oleh itu, atas cadangan Tun Dr Mahathir, saya telah dilantik menjadi presiden UIA kira-kira lapan tahun yang lalu. Pada waktu itu UIA dianggap oleh kerajaan Malaysia sebagai pusat kegiatan anti-kerajaan.

Malahan kerajaan pada waktu itu ingin menyerahkan UIA kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan menempatkan pelajar-pelajar Malaysia di universiti yang baru ditubuhkan yang dinamakan Kolej Universiti Islam, pada waktu itu.

Tun Dr Mahathir telah mendedahkan rahsia bahawa jika saya dapat mengamankan UIA supaya betul-betul menjadi pusat pengajian, dan bukan pusat kegiatan anti-kerajaan, maka dapatlah UIA dikekalkan sebagai milik Malaysia dan tidak dipindahkan pentadbiran dan pembiayaannya kepada OIC.

Tun Dr Mahathir telah memberi tempoh enam bulan untuk saya menjadikan UIA bebas daripada politik kepartian.

Alhamdulillah usaha membebaskan UIA daripada kegiatan politik kepartian telah dapat dijayakan sebelum [tempoh] enam bulan berlalu. Kembalilah UIA seperti sedia kala dan tidak jadi diserah kepada OIC.

Saya berasa amat kesal apabila pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengunjungi ibu pejabat IIUM Holdings Sdn Bhd [sebuah syarikat milik penuh UIA] sehari setelah saya turut berkempen di Jerlun untuk memenangkan YB Datuk Mukhriz Mahathir pada pilihanraya umum lalu.

Oleh kerana YB Datuk Mukhriz dihantar ke Jerlun, maka saya turun berkempen kerana saya juga pernah menjadi calon di Jerlun. Alhamdulillah YB Datuk Mukhriz menang.

Walaupun pihak BPR nampaknya puas hati dengan semua penjelasan yang diberi oleh pegawai IIUM Holdings Sdn Bhd tetapi pihak yang membuat aduan tidak puas hati dan menghantar melalui emel surat aduan yang berisi fitnah semata-mata kepada banyak kakitangan UIA termasuk semua dekan.

Sudah tentu saya tidak boleh membenarkan IIUM Holdings Sdn Bhd dan diri saya difitnah sehingga kakitangan UIA berasa terhina bekerja di bawah presiden yang rasuah.

uia iiu universiti islam antarabangsa malaysia Saya telah mengadakan pertemuan dengan semua dekan untuk menyatakan bahawa aduan kepada BPR bermotifkan politik, dan atas arahan tangan yang tersembunyi, dan sebab lawatan [BPR] dibuat setelah saya berkempen untuk YB Datuk Mukhriz.

Saya telah menjadi wakil rakyat sebagai ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri selama 30 tahun dari tahun 1974 hingga 2004.

Sepanjang masa itu kesempatan saya melakukan rasuah cukup banyak tetapi syukur Alhamdulillah , dapat saya elakkan dan tidak pernah terlintas di benak hati saya untuk berasuah.

Saya juga tidak keberatan jika BPR memeriksa saya dari mula saya memegang jawatan dalam kerajaan, sama ada saya memegang jawatan dalam kerajaan, sama ada saya pernah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri.

'Suruhanjaya diraja' juga boleh ditubuhkan untuk menyoal selidik saya. Suruhanjaya yang sama juga patut diadakan untuk [menyiasat] tokoh-tokoh di Putrajaya.

Mengenai ketidakhadiran saya dalam majlis perasmian ulang tahun ke-25 UIA juga dipersoalkan. Saya telah mengelak untuk menghadiri majlis ini, dan telah mendapat restu DYMM Ketua Perlembagaan untuk mengelak daripada membuat ucapan memuji-muji Tun Dr Mahathir yang menjadi pengasas UIA.

Jelas, tanpa ucapan saya pun, para hadirin dan para pelajar telah bertepuk dengan gemuruh apabila nama Tun Dr Mahathir disebut atau gambarnya ditayangkan dalam majlis itu.

Malangnya ahli majlis yang telah dipilih menggantikan saya untuk berucap, dengan restu ke bawah DYMM Ketua Perlembagaan, telah tidak diberi kesempatan berucap dalam majlis itu. Jika diberi kesempatan, sudah tentu perkara ini tidak menjadi isu.

UIA sebenarnya tidak membenarkan pekerja dan pelajarnya berpolitik di kampus, apatah lagi politik berparti. Yang ada di UIA ialah ilmu politik.

Agak aneh jika saya diberhentikan semata-mata kerana saya tidak menjadi ahli Umno, lebih-lebih lagi jika hanya buat sementara sahaja.

Walaupun perlembagaan UIA memberi kuasa kepada Ketua Perlembagaan untuk menamatkan khidmat saya tetapi mengikut natural justice apakah saya tidak boleh mengetahui apa kesilapan saya yang menyebabkan tempoh khidmat saya mahu dipendekkan, dan tidak ditunggu sehingga tamat dua tahun lagi.

Sepanjang perkhidmatan, saya tidak pernah menyebabkan prestasi UIA merosot.

Saya juga cukup faham dan mengerti dan tidak akan menggunakan jawatan saya untuk tujuan politik peribadi saya atau politik kepartian.

Saya ucapkan terima kasih atas penjelasan menteri pendidikan tinggi [Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin], yang saya kira mewakili kerajaan, bahawa khidmat saya akan ditamatkan jika saya bersikap sebaliknya [yakni: menggunakan kedudukan saya sebagai presiden untuk tujuan politik peribadi saya].

Tan Sri Datuk Seri Sanusi Junid

Presiden, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

ADS