Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demonstrasi: Polis beri amaran
Diterbitkan:  Jun 6, 2008 5:35 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Polis hari ini memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang demonstrasi bagi membantah kenaikan harga minyak.

Timbalan ketua polis negara Datuk Ismail Omar dalam kenyataan hari ini berkata berdasarkan maklumat hasil risikan polis, terdapat beberapa pihak sedang merancang mengadakan siri demonstrasi di beberapa lokasi seluruh negara.

"Tujuan demonstrasi ialah untuk membantah kenaikan harga petrol dan diesel. Di sini saya ingin menegaskan sebarang perhimpunan perlu mendapatkan permit daripada Ketua Polis Daerah.

"Menyertai perhimpunan tanpa permit adalah salah dan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius ke atas mereka," katanya sambil meminta kerjasama orang ramai bagi memastikan ketenteraman awam terus terjamin.

Menurut Bernama , beliau berkata polis turut mendapat maklumat bahawa beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik akan mengadakan perhimpunan "berjaga malam" di hadapan kem tahanan Kamunting, Perak, malam esok, bagi mendesak pembebasan semua tahanan ISA serta pemansuhan akta itu.

Sementara itu beberapa lokasi di ibu kota yang dikatakan akan diadakan demonstrasi membantah harga minyak, dikawal dengan kehadiran pihak polis dan Unit Simpanan Polis Persekutuan (FRU).

Tinjauan agensi berita itu di beberapa lokasi seperti Kampung Baru, KLCC dan Masjid Negara, mendapati keadaan keseluruhannya adalah seperti biasa selepas solat Jumaat.

Di Masjid Jamek Kampung Baru, bagaimanapun terdapat kira-kira 50 orang yang berkumpul dan membuat bantahan aman mengenai kenaikan harga minyak, tetapi kumpulan terbabit disuraikan 15 minit kemudian oleh polis.

ADS