BERITA Malaysiakini

Abim: Kaji semula kenaikan harga minyak

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, keputusan kerajaan menaikkan harga jualan minyak petrol sebanyak RM 0.78 serta diesel sebanyak RM1, adalah pahit untuk ditelan oleh semua lapisan masyarakat.

"Ini memandangkan kenaikan kedua-dua komoditi tersebut bakal meninggalkan kesan yang jelas serta nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia," kata Setiausaha Agungnya, Khairul Arifin Mohd Munir.

Menurutnya, kenaikan harga minyak akan mendorong kenaikan caj-caj perkhidmatan, kos sara hidup dan harga barang keperluan, yang pastinya membebankan, terutama di kalangan rakyat berpendapatan rendah.

"Mereka yang tinggal di bandar merupakan golongan yang akan terjejas teruk disebabkan kos sara hidup yang tinggi yang segalanya bergantung kepada kuasa membeli bagi mendapatkan sesuatu barang, berbanding di kampung, yang setidak-tidaknya boleh memanfaatkan hasil tani.

"Kita sedar bahawa kenaikan ini mungkin tidak boleh dielakkan disebabkan faktor kenaikan minyak global, namun demikian Abim beranggapan, tindakan kerajaan untuk menaikkan harga minyak adalah terlalu drastik, mendadak dan terlalu tinggi," katanya.

Kenaikan tersebut secara langsung menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenaikan tersebut juga bakal memberikan kesan negatif kepada perkembangan sosial dalam masyarakat jika ianya tidak ditangani dengan baik disebabkan tekanan hidup yang dihadapi rakyat.

"Bahkan Abim juga berpendapat, kenaikan ini tidak menepati status negara sebagai negara pengeluar minyak, yang menjadi penyumbang utama kepada hasil pendapatan negara.

"Dalam hal ini, perbandingan tidak boleh dilakukan terhadap harga minyak yang ditawarkan oleh beberapa negara lain seperti Singapura, yang terpaksa mengimport minyak untuk menampung kegunaan domestiknya," tambahnya.

Tujuh saranan

Khairul Ariffin berkata, menyedari implikasi akibat kenaikan harga minyak terhadap rakyat, maka Abim menyarankan kerajaan melaksanakan inisiatif berikut:

bullet button Mengkaji mengkaji semula kenaikan tersebut yang disifatkan terlalu tinggi dan drastik. Kebajikan rakyat perlu diberikan keutamaan.

bullet button Memperkasakan semula mekanisme pengagihan pendapatan atau kekayaan berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial, agar kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat pembelaan yang sewajarnya.

bullet button Pemimpin, jabatan, serta agensi kerajaan mengamalkan budaya berbelanja secara berhemah, agar dapat diteladani oleh rakyat. Seruan ini tidak terhad kepada kerajaan pusat tetapi meliputi semua pihak, termasuk kerajaan negeri.

bullet button Setiap projek ataupun program pembangunan perlu dirancang secara berhemah serta teliti untuk mengelakkan pembaziran dan memaksimumkan wang hasil penjimatan subsidi itu untuk dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Rasuah dan ketirisan wang peruntukan kerajaan kepada mereka yang tidak berhak, wajar diperangi habis-habisan.

bullet button Memperbaiki sistem pengangkutan awam seperti bas awam, teksi, komuter, serta beberapa jenis pengangkutan lain untuk membantu rakyat meringankan beban kenaikan harga minyak.

bullet button Memantau harga barang keperluan yang masih menerima subsidi dari kerajaan, agar tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan mendapatkan keuntungan berlipat ganda ekoran kenaikan harga minyak.

bullet button Memastikan penyaluran bantuan kebajikan dan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah serta miskin dapat dijalankan secara telus dan teratur.