BERITA

Ambil alih rumah api Pulau Pisang

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Jun 2008, 8:26 pagi

Malaysia perlu memulakan usaha mengambil alih keseluruhan pentadbiran dan pengurusan rumah api di Pulau Pisang dari pihak Singapura, kata Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Katanya, beliau telah menyuarakan permintaannya itu kepada Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim, agar Malaysia memulakan dengan segera usaha rundingan dengan Singapura.

"Kita berharap suatu hari nanti, menerusi perundingan diplomatik dengan Singapura, rumah api Pulau Pisang ini akan diserah milik kepada Malaysia dan ia (rumah api) boleh menjadi tarikan pelancong ke pulau ini.

"Datuk Seri Rais nampaknya bersikap positif terhadap cadangan itu,(Malaysia memulakan rundingan)," katanya dalam sidang akhbar di perkarangan rumah api Pulau Pisang.

Menurut laporan Bernama, rumah api Pulau Pisang setinggi 53 meter yang kini diuruskan kakitangan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura terletak kira-kira 1,000 meter dari paras laut.

Ahmad sebelum itu mengetuai delegasi seramai 60 orang dari pelbagai agensi kerajaan, Umno dan media massa melawat Pulau Pisang seluas 446 ekar (178.4 hektar) yang terletak kira-kira 8km di luar perairan Pontian.

Walaupun Pulau Pisang terletak di dalam wilayah Malaysia, tetapi rumah apinya ditadbir oleh Singapura menerusi perjanjian di antara Almarhum Sultan Ibrahim dan kerajaan British pada tahun 1900.

Berikutan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menetapkan Singapura mempunyai kedaulatan terhadap Batu Puteh, terdapat kebimbangan bahawa Pulau Pisang yang turut menempatkan rumah api yang dikendalikan Singapura, bakal menerima nasib yang sama.

Tak perlu libat ICJ

Pulau Pisang terletak di kedudukan yang amat strategik iaitu di bahagian selatan laluan perkapalan Selat Melaka yang sibuk .

"Kita tidak akan membiarkan pisang berbuah dua kali, sudah cukuplah dengan kehilangan Batu Puteh kepada Singapura," kata Ahmad sambil menambah, rundingan supaya Malaysia mengambil alih pengurusan rumah api Pulau Pisang itu juga tidak perlu melibatkan ICJ.

"Kita perlu meneliti kembali surat perjanjian pada 1900 yang memberikan kebenaran kepada Singapura mengendalikan rumah api di Pulau Pisang itu," katanya.

Beliau berkata usaha pembangunan juga perlu dilaksanakan secepat mungkin di Pulau Pisang, bagi memastikan soal kedaulatan Malaysia di pulau itu tidak dicabar oleh mana-mana pihak pada masa ini dan masa depan.

Sebagai simbolik bagi menandakan usaha membangunkan Pulau Pisang telah bermula, katanya, sebuah surau bernilai RM50,000 akan didirikan di pulau itu dalam jangkamasa terdekat ini.

Sebahagian daripada peruntukan pembinaan surau itu sebanyak RM25,000 akan disumbangkan sendiri oleh Ahmad.

Usaha membangunkan Pulau Pisang terutama dalam bidang ekopelancongan, menurut anggota Parlimen Pontian itu, dipersetujui oleh kerajaan pusat dan negeri.

"Apa yang perlu kita lakukan kini adalah mempromosi potensi Pulau Pisang sebagai destinasi pelancongan kepada pelabur-pelabur dalam dan luar negara yang berminat," katanya dan beliau juga akan mencadangkan supaya pembangunan Pulau Pisang itu dimasukkan di bawah pembangunan Iskandar Malaysia.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.