BERITA

Tidak setuju subsidi berlebihan

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Jun 2008, 6:08 pagi

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dasar memberi subsidi berlebihan kerana ia boleh melemahkan ekonomi negara.

Ketua umum PKR juga mempertikaikan tindakan kerajaan memberi subsidi kepada syarikat-syarikat kaya.

"Subsidi untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM5.6 bilion dan pengeluar tenaga bebas (IPP) RM6.7 bilion.

"Tetapi subsidi untuk perumahan dan peniaga kecil cuma RM3.9 bilion," kata mantan timbalan perdana menteri itu, ketika menyampaikan ceramah di Taman Keramat, dekat ibu negara malam tadi.

Turut berceramah, menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan naib presiden PKR, Azmin Ali.

Anwar juga mendedahkan bahawa sebuah syarikat yang didakwa dekat dengan pemimpin politik negara telah mendapat kontrak untuk mengawal diesel bersubsidi selama lima tahun.

Beliau bagaimanapun tidak menjelas syarikat ada hubungan dengan siapa.

Syarikat yang diberikan kontrak membekalan nanotag - teknologi menanda diesel bersubsidi agar mudah dikesan jika diseleweng - untuk tempoh 2006 hingga 2011

dibayar RM117 juta setahun.

Syarikat itu bertanggungjawab menjalankan 36,000 sampel ujian setahun bagi menjejak pergerakan bahan api itu.

Dalam ceramahnya itu, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan mengkhianati orang Melayu jika beliau menjadi perdana menteri kelak.

"Saya tidak akan memimpin negara ini walau seharipun jika saya mengkhianati orang Melayu.

"Sebaliknya saya akan mengangkat martabat orang Melayu, di samping kaum yang lain," katanya lagi.

Anwar juga berkata, politik BN kini tidak stabil apabila MCA, Gerakan dan MIC dalam keadaan berkecamuk.

Katanya, para pemimpin Umno sudah tidak dapat mengawal apa yang berlaku dalam BN.

Bagaimanapun, katanya pemimpin MCA, MIC dan Gerakan berani menegur kerajaan tetapi pemimpin Umno tidak berani berbuat demikian.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.