BERITA

DUN S'gor siasat isu pegawai MB

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Jun 2008, 4:22 petang

dikemaskini 9:35pm Jawatankuasa anti-penyelewengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bersedia menjalankan siasatan berhubung salah guna kuasa di negeri itu.

Teng Chang Khim, pengerusi jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat), menyeru pengadu kes dakwaan salah guna pegawai kanan di pejabat menteri besar agar segera menghubungi beliau.

Teng, yang juga speaker DUN, hari ini berkata jawatankuasa tersebut boleh bersidang sebaik sahaja pengadu memberi maklumat yang diperlukan.

"Sukacita dimaklumkan, mengikut Jadual A, Artikel 77 undang-undang tubuh negeri pengadu-pengadu boleh diberi kekebalan daripada tindakan undang-undang jikalau terbukti aduan itu tidak berasas kelak," katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, pegawai kanan itu didakwa menyalahgunakan kuasa pengagihan kontrak pembersihan dan kutipan sampah di Petaling Jaya.

khalid ibrahim and selangor state Jumaat lalu, pejabat menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kerajaan negeri akan menjalankan siasatan dalamannya sendiri "kerana mengikut pengalaman lepas, pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) lambat bertindak dan ini akan memberi kesan negatif kepada keberkesanan pentadbitan kerajaan negeri."

Badan itu hari ini merampas beberapa dokumen dan menyiasat seorang pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dipercayai berhubung pengagihan kontrak kontrak tersebut.

Malaysiakini difahamkan, BPR menyiasat pegawai MBPJ berkenaan tengah hari ini dan mengambil dokumen-dokumen tersebut dari pejabatnya.

Bagaimanapun tiada pengesahan diperolehi daripada majlis itu atau kerajaan negeri, setakat ini.

Siasatan tersebut selepas satu laporan dibuat minggu lepas oleh sekumpulan lelaki yang mendakwa anggota PKR kepada badan itu dan polis.

Jumaat lepas, akhbar Sinar Harian menyebut, jurucakap kumpulan berempat itu Remy Iskandar berkata mereka mempunyai "semua dokumen yang boleh menjadi bukti" aduan mereka.

selangor mb sinar harian aca report 060608 Beliau bersama tiga yang lain (foto) juga dilaporkan berkata pegawai kanan itu dipercayai telah meluluskan kontrak dan tender kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan menteri besar.

Remy juga berkata, mereka meragui kelulusan tersebut kerana ia menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa nombor rujukan yang jelas dan pegawai tersebut meminta syarikat-syarikat itu diberikan keutamaan dalam pembahagian kontrak itu.

Selcat dianggotai lapan wakil rakyat di DUN itu, termasuk dua BN.

Anggota-anggota itu antaranya Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan