BERITA

Islam hadhari tetap di negeri Pakatan

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Jun 2008, 8:16 pagi

Program mempromosi Islam hadhari akan diteruskan di semua lima negeri Pakatan Rakyat walaupun Pulau Pinang dan Selangor mengambil keputusan menghentikan penyebarannya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan memang menjadi tanggungjawab jabatan itu, sebuah badan bawah Jabatan Perdana Menteri, menjalankan program tersebut dan tugas itu akan diteruskan.

"Sebelum diharamkan dulu, kita (Jakim) telah melaksanakannya di sektor awam dan perdana menteri menyuarakan di peringkat antarabangsa. Dalam konteks Malaysia, kita fokus kepada pelaksanaan program," kata ketua pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Beliau menambah, selepas pilihanraya umum 8 Mac, program-program jabatan itu untuk mempromosikan Islam hadhari tidak menghadapi sebarang masalah.

"Tidak ada masalah. Program macam biasa. Ia meliputi semua negeri," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Wan Mohamad berkata, pada penilaian peribadinya, ahli-ahli politik di lima negeri gabungan pembangkang ini "macam tidak selesa" dengan istilah Islam hadhari.

"Mereka nampak tidak selesa istilah Islam hadhari digunakan," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, beberapa bahagian kandungan versi Islam yang dimajukan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu kelihatannya "boleh dipersetujui" oleh mereka.

fairus khairuddin and penang Diminta mengulas kenyataan timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin untuk "tidak meneruskan" lagi pelaksanaan program Islam hadhari, beliau enggan mengulas selagi tidak mendengar pengumuman rasmi dibuat.

"Tunggu apa beliau sebut dulu," kata Wan Mohamad.

Mohammad Fairus semalam memberitahu Malaysiakini , mengambil langkah seperti Selangor 26 Mei lalu, Pulau Pinang memutuskan secara rasmi menghentikan promosi Islam hadhari dan ia akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan.

"Kita tidak akan meneruskan sama sekali program Islam hadhari ini," katanya.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bulan lepas, exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata: "kerajaan telah membuat keputusan, Islam hadhari tidak diizinkan untuk diperkembangkan di negeri Selangor, cukuplah dengan dinul (agama) Islam."

Sementara itu, Kelantan, yang dikuasai PAS sejak 1990, tidak pernah melarang penyebaran Islam hadhari oleh jabatan-jabatan persekutuan.

Setiausaha politik kepada menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri tidak pernah mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang melaksanakan program Islam hadhari.

"Kita tidak ambil sebarang tindakan. Ini negara demokrasi. Selagi aman dan tidak bercanggah dengan Akta Hasutan dan lain-lain, kita tidak ambil sebarang tindakan. Lagi pun kita bukan kerajaan persekutuan," kata Anual Bakri Haron.

"Biar rakyat sendiri teliti dan buat keputusan (terima atau tidak)," tambahnya.

Beliau mengakui, sejak beberapa tahun lepas, terdapat program penyebaran konsep Islam hadhari dijalankan oleh Jakim, Jabatan Penerangan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia di negeri itu.

Bagaimanapun, Annual berkata secara peribadi beliau "sangat bersetuju" dengan tindakan Pulau Pinang menghentikan program Islam hadhari di negeri itu.

"Kita sejak awal lagi memang sudah mempersoalkannya (Islam Hadhari).

"Tulisan (presiden PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dalam buku) Hadharah Islamiah ( bukan Islam hadhari ) itu sudah menjadi dokumen rasmi penolakan (PAS)," kata Anual.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan