BERITA

Kes Irene tertangguh lagi...

Soon Li Tsin

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jun 2008, 9:50 pagi

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez sekali lagi dilanda kekecewaan dalam kes rayuannya terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya lima tahun lalu.

Rayuan aktivis pekerja asing itu dijadualkan untuk proses pengurusan kes hari ini, selepas dokumen-dokumen yang hilang sebelum ini, telah ditemui semula.

Bagaimanapun, kekurangan penjelasan mengenai bagaimana dokumen tersebut ditemui semula dan kesukaran membaca tulisan majistret yang mendengar kes tersebut sebelum ini, memaksa ia ditangguhkan sehingga 5 Ogos lalu.

Hari ini, peguamnya, M Puravalen meminta penjelasan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Apandi Ali mengenai bagaimana dokumen yang hilang sebelum ini, ditemui semula, tetapi hakim itu tidak dapat menjawabnya.

Hakim kemudiannya membaca surat yang dierimanya dari mahkamah berkenaan yang hanya menyatakan bahawa dokumen-dokumen tersebut telah ditemui semula.

Bagaimanapun, Puravalen meminta hakim mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab dan untuk rekod, mendapatkan penjelasan mengenai bagaimana dokumen-dokumen tersebut ditemui semula.

"seseorang mesti bertanggungjawab terhadap kelewata dan kesukaran yang dilaluinya. Ini soal kebebasan dan kehidupan seseorang. TIndakan mesti diambil," katanya.

Hakim berkata, ia merupakan isu pentadbiran dan mengarahkan Puravalen menulis surat kepada ketua hakim negara dan pendaftaran mahkamah mengenainya.

"Hakim tidak mengendali isu-isu pentadbiran dan ia bukan dalam bidangkuasa saya untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa," katanya.

Menaip nota

Mengenai nota perbicaraan, Hakim Apandi berkata jurutaip memerlukan masa sebulan untuk menaip tulisan bekas majistret Juliana Mohamed.

"Saya telah dimaklumkan secara lisan bahawa majistret tersebut menggunakan tulisan trengkasnya sendiri dan bukannya yang biasanya digunakan oleh jurutrengkas.

"Oleh itu, adalah baik untuk kes ini ditangguhkan ke tarikh lain untuk kita melihat sama ada rekod-rekod rayuan, komprehensif atau tidak," katanya.

Puravalen juga memberitahu mahkamah bahawa beliau akan meminda rayuan, untuk memasukkan apa yang berlaku ini untuk menguatkan hujah mereka bahawa telah berlaku ketidakadilan.

Hakim Apandi kemudiannya menetapkan 5 Ogos depan untuk mendengar kes tersebut serta melanjutkan ikatjamin RM3,000 ke atas Irene.

Pada 11 April lalu, Puravalen dan DPP Shamsuil Sulaiman memandang berat kes tersebut tidak dapat diteruskan kerana kehilangan dokumen-dokumen berkenaan.

Pada masa itu, Apandi dijadual mendengar hujah peguam sama ada beliau boleh meneruskan perbicaraan tanpa dokumen-dokumen tersebut.

Bagaimanapun, awal bulan ini, dokumen-dokumen tersebut telah ditemui semula, dan oleh itu proses pengurusan kes tersebut ditetapkan pada hari ini untuk menetapkan tarikh rayuan tersebut didengar.

Dokumen yang hilang itu termasuklah kenyataan tiga saksi pendakwa - jurutera tempatan Tan Onn Chin, bekas pengarah hospital psikitrik Tanjung Rambutan, Dr N Raman dan jururawat psikitrik N Vejayan dan satu bahan kes.

Irene telah dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara kerana didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk tuduhan berniat jahat menyiarkan berita palsu pada 1995, mengenai keadaan hidup tahanan di pusat tahanan rakyat asing.

Beliau telah ditangkap dan didakwa di bawah Seksyen 8A(1) Akta penerbitan dan Mesin Cetak 1984 setahun kemudiannya. Hukuman maksimum ialah tiga tahun penjara atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.