Kumpulan Simpanan Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menafikan laporan menyatakan bahawa KWSP telah meluluskan pengeluaran insurans penyakit kritikal untuk pencarumnya.
Pengurus kanan perhubungan awamnya, Nik Affendi Jaafar menjelaskan bahawa engeluaran insurans penyakit kritikal belum dilancarkan kerana masih belum mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.
"Oleh itu, tindakan Rexit Berhad dan MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) memberikan kenyataan media berhubung cadangan pengeluaran itu tanpa merujuk kepada KWSP terlebih dahulu adalah salah dan amat mendukacitakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, MTUC menyuarakan kekesalahnya kerana mendakwa KWSP telah meluluskan pengeluaran insurans penyakit kritikal tanpa mendapat persetujuannya terlebih dahulu, seperti yang dijanjikan dalam perbincangan yang diadakan sebelum ini.
"Perbincangan KWSP dengan MTUC sedang berjalan. Sehubungan itu, tidak ada sebab MTUC berasa bimbang KWSP tidak berpegang kepada janjinya," kata Nik Affendi.
"Pandangan MTUC mengenai pengeluaran tersebut sedang dipertimbangkan dan seperti yang dipersetujui, KWSP akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MTUC untuk memperkemaskan lagi butiran pengeluaran itu," tambahnya.
Oleh itu, katanya, KWSP berharap kenyataan ini dapat menjelaskan sebarang kekeliruan berhubung cadangan pelaksanaan Pengeluaran Insurans Penyakit Kritikal.
"KWSP juga akanmengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan pengeluaran itu setelah butiran operasinya dipersetujui," katanya.
Nik Affendi berkata, sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, setiap pengeluaran dan manfaat baru yang diperkenalkan adalah untuk faedah ahli dan KWSP sentiasa komited dalam melindungi kepentingan ahlinya.
