Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak bantahan awal yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang dari PAS, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar terhadap petisyen memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan semula undi pos bagi kawasan itu yang ditolak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Peguam pempetisyen, Datuk Muhammad Shafee Abdullah memberitahu satu sidang media di Kuala Terengganu, bahawa Hakim Mahkamah Pilihanraya, Datuk Ramly Ali dalam penghakimannya,
menerima petisyen yang dikemukakan anak guamnya, Mahari Endut, 48, selepas mendapati perkara itu tidak remeh-temeh dan mempunyai prima facie untuk dibicarakan.
Beliau berkata hakim menolak bantahan awal Tengku Hassan selaku responden ketiga, yang diwakili oleh barisan peguam diketuai Datuk Wan Abdul Muttalib Embong, demikian menurut laporan Bernama.
"Dalam bantahan awalnya, responden menyatakan mengenai dua perkara iaitu petisyen itu tidak mempunyai klausa diperuntukkan undang-undang dan bantahan terhadap ketiadaan penandaan kertas undi pos oleh SPR ketika hari pengundian sehingga ditolak oleh pegawai pilihanraya.
"Sepatutnya perkara itu perlu dilakukan pada hari pengundi membuang undi dan bukannya sekarang," kata Muhammad Shafee.
Beliau berkata hakim menetapkan 24 Jun ini bagi mendengar permohonan pempetisyen untuk membuat salinan dan mengkaji kertas undi pos yang ditolak.
Pada 27 April lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen di mahkamah itu memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan semula dibuat ke atas 127 undi pos bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang ditolak oleh SPR pada hari pengundian, 8 Mac lalu.
Melalui petisyen itu, Mahari yang merupakan Ketua Umno cawangan Lorong Kemunting, meminta supaya 127 kertas undi pos yang ditolak oleh SPR sebelum dibuka pada hari pengundian lalu, diterima sebagai kertas undi sah dan dikira semula.
Dalam pilihanraya umum lalu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang merupakan penyandang kerusi DUN Ladang kalah kepada Tengku Hassan dengan majoriti 31 undi.
