Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

K'jaan benarkan pendaftaran PSM

Rahmah Ghazali

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Parti Sosialis Malaysia (PSM) akhirnya diberikan keizinan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik selepas bergelut selama 10 tahun, termasuk menyeret kerajaan ke mahkamah.

Setiausaha agung penajanya S Arutchelvan berkata peguam-peguam PSM hari ini memohon Mahkamah Persekutuan menangguhkan kes rayuannya terhadap Mahkamah Rayuan yang menolak pendaftaran parti itu.

Mahkamah Persekutuan kemudian memutuskan untuk menunda kes itu sehingga menunggu pendaftarannya.

arutchelvan psm interview 010208 concern Arutchelvan memberitahu Malaysiakini , beliau mengirim melalui emel memorandum pada 28 Mei lalu kepada Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi meminta menteri dalam negeri itu campur tangan dalam kes tersebut.

Syed Hamid menjawab memorandum itu, juga melalui emel, dengan mengatakan kementeriannya akan menyokong pendaftaran PSM, yang kerajaan tolak selama sedekad.

“Pada 4 Jun, saya menerima emel (Syed Hamid) menyatakan ‘kami akan benarkan pendaftaran (PSM) diteruskan’,” kata Arutchelvan, mengulas keputusan mengejutkan itu.

Pagi tadi, Arutchelvan menerima sepucuk surat daripada KDN meminta PSM menyerahkan permohonan baru untuk pendaftaran.

Katanya, permohonan itu hanya sekadar tuntutan rasmi.

Menurut Arutchelvan, peguam cara kanan persekutuan Mary Lim yang mewakili kerajaan dalam kes mahkamah melibat PSM, hari ini mencadangkan partiitu menggugurkan kes tersebu susulan perkembangan terbaru itu.

“Lim berkata kes itu kini hanya akademik,” kata aktivis hak asasi itu.

PSM bagaimanapun memberitahun mahkamah bahawa ia tidak bercadang menarik balik kes itu sehingga ia menerima ‘keputusan hitam putih’ status pendaftarannya dari KDN.

Peguam-peguam parti itu Tommy Thomas dan Ragunath Kesavan sebaliknya memohon mahkamah ditangguhkan hari ini sementara menanti kelulusan kerajaan.

“(Keputusan ini untuk memastikan) selepas kami menyerahkan surat rasmi dan jika kami ditolak (lagi), jadi kami akan kembali ke mahkamah,” jelas Arutchelvan.

Dalam memorandum parti itu kepada Syed Hamid bulan lalu, pemimpin PSM menggesa kementerian meluluskan permohonan parti itu memandangkan janji kerajaan kini yang ingin melaksanakan reformasi.

“Jika kerajaan bersedia melakukan perubahan dalam semua hal, PSM seharusnya dibenarkan didaftarkan,” katanya.

Turut hadir di mahkamah hari ini, pengerusi penaja PSM Dr Mohd Nasir Hashim, wakil rakyat Kota Damansara (Selangor) dan ahli jawatankuasa pusat PSM Dr D Jeyakumar, yang juga ahli parlimen Sungai Siput (Perak).

Sejarah permohonan

Pada 30 April 1998, PSM memohon menubuhkan sebuah parti politik tetapi hanya dibenarkan aktif di Selangor. Rayuan kepada Menteri Dalam Negeri ditolak.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Dr Mohamed Nasir menfailkan satu permohonan bagi kajian semula kehakiman untuk membatalkan keputusan menteri tetapi ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Januari 2003.

Selepas itu, ia dibawa ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya sebulat suara menolak rayuan itu dengan kos pada 16 Ogos 2006 dan mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Akta Pertubuhan 1966 membolehkan pendaftar mengenakan syarat-syarat yang dianggap wajar sebelum mendaftarkan sesebuah pertubuhan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya memutuskan bahawa dasar Pendaftar Pertubuhan -- yang memerlukan jawatankuasa sesebuah parti politik mengandungi wakil dari sekurang-kurangnya tujuh negeri dalam Persekutuan apabila pendaftaran untuk peringkat nasional -- bukanlah amalan tidak munasabah.

Pada 23 April 2007, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada PSM untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang tidak membenarkannya menubuhkan sebuah parti politik di peringkat kebangsaan.

Mahkamah Mahkamah Persekutuan mendengarnya pada hari ini.