Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selangor tidak akan mengikut jejak kerajaan persekutuan untuk memotong elaun menteri dan wakil rakyat sebagai langkah berjimat-cermat berikutan kenaikan harga petrol.

“Kalau (kerajaan pusat) naik RM1, potong (elaun) 5 sen, maknanya rakyat tidak berapa pandailah. Ataupun kerajaan tidak berapa pandailah,” kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

first 100 days khalid ibrahim interview 160608 04 Beliau menyifatkan pemotongan elaun keraian dan perbelanjaan berhemah sebagai kesan “malu alah” kerajaan pusat kepada rakyat kerana menaikkan harga minyak.

“Sekarang kerajaan naikkan (harga) minyak dan malu alah, (kemudian) baru putuskan agar pegawai dan menteri-menteri potong gaji.

"Potong gaji, sedikit. Habis potong (semua) gaji bagi pada rakyat pun, rakyat kena potong RM7 hingga 8 bilion. Potong gaji semua menteri-menteri itu tidak sampai RM200 juta,” katanya dalam wawancara khas di kediaman rasminya di Shah Alam, Sabtu lalu.

Menurut wakil rakyat Ijok lagi, kerajaan persekutuan sepatutnya mengambil kira pelbagai pilihan yang ada sebelum membuat keputusan.

"Itu yang nak kena kita bincangkan betul-betul. Adakah strategi kerajaan sekarang meringankan beban rakyat atau tidak.

"Kalau tidak mengurangkan beban rakyat, adakah strategi itu berkesan atau tidak? Pada saya, pilihan-pilihan yang lain perlu dibincangkan dulu sebelum mengambil keputusan.”

Minggu lalu, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan, elaun beliau, timbalannya, menteri dan timbalan menteri akan dipotong 10 peratus mulai 1 Julai.

Ketika ini, elaun keraian sebulan perdana menteri adalah RM18,865, timbalannya (RM15,015), menteri persekutuan (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000).

Beberapa negeri yang diterjui BN seperti Terengganu, Sarawak, Pahang, Melaka dan Perlis turut menuruti langkah ini.

Sementara di lima negeri Pakatan Rakyat, hanya Kedah sahaja yang mengumumkan pemotongan, sementara Kelantan mengamalkan dasar itu sebelum kenaikan harga minyak.

Bercakap kepada media berbahasa Melayu sempena seratus hari pentadbiran Pakatan di Selangor, Khalid turut menyarankan kerajaan memfokuskan usaha kepada melindungi pendapatan benar rakyat berbanding pendapatan wang sedia ada bagi menjamin kesan kenaikan bahan api itu.

"Pada saya, apakah yang diperlukan oleh rakyat pada masa inflasi? Jawapannya, rakyat mahu pendapatan dia sampai di tahap boleh digunakan? Maknanya, kita mesti kurangkan beban. Dalam inflasi, duit RM100, sekarang dia kena simpan RM110. Itu isunya. Rakyat mahu pendapatan benar.

first 100 days khalid ibrahim interview 160608 01 “Kalau kita meningkatkan pendapatan benar itu dengan memberi subsudi minyak, kita boleh buat kalau kita punya minyak. Tetapi tidak usahlah melampau sampai percuma. Adalah had-had yang kita hendak lakukan,” katanya.

Mengulas mengenai usahanya meningkatkan ekonomi negeri, menurut Khalid, Selangor merancang menguruskan sumber-sumber aslinya seperti pasir dan tanah dengan lebih berkesan supaya hasilnya dapat disalurkan untuk kebajikan rakyat.

Sekarang ini, tambahnya, pengurusan pasir kurang menguntungkan negeri itu. Selangor hanya mendapat RM17 juta setahun daripada royalti penjualan sumber itu.

Khalid berkata, jika ia diuruskan sendiri dapat memberikan pendapatan sehingga 10 kali ganda.

“Kalau kita urus dan jual terus, kerajaan boleh dapat RM150 juta. Sekarang ini kerajaan cuma ambil royalti. Jadi lebih baik supaya mendapat manfaat lebih. Ini boleh disalurkan kepada program kebajikan.”

Mengulas pengurusan tanah pula, Selangor akan membatalkan pemberian tanah percuma dengan bayaran premium kepada pengusaha kerana amalan sekarang tidak menguntungkan kerajaan.

Tetapi, menurutnya, mereka yang menetap di kawasan itu dalam tempoh yang panjang akan dipertimbangkan.

“Kerajaan Selangor bersimpati kepada mereka yang duduk di tanah itu selama 30 tahun dan dijanjikan (oleh kerajaan sebelumnya), itu kerajaan (sekarang akan) beri. Tetapi kerajaan Selangor tidak bagi kepada pengusaha. Dia pergi cari tengok tanah mana kosong, jumpa kita kata, berilah saya tanah ini sebab saya akan usahakan.

“Tetapi kerajaan bukan jual pada dia. Bagi saja. Bagi premium. Premium hanya sepuluh peratus pada nilai itu. Bagi saya, jawapannya buat apa bagi premium. Kalau betul-betul nak jual, jual saja. Dan keuntungan itu bagi balik pada rakyat Selangor,” katanya.

ADS