Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kesatuan Pekerja Tenaga Nasional Berhad sangat kecewa dengan tindakan syarikat tersebut yang hanya menawarkan pelarasan kenaikan gaji sebanyak tiga peratus kepada kakitangannya.

Seorang pemimpin kesatuan itu yang enggan namanya disiarkan berkata, TNB juga tidak membayar elaun sara hidup (COLA) dan elaun perumahan kepada kakitangannya.

"Kami telah berunding empat kali sejak April lalu tetapi belum menemui jalan penyelesaian kerana TNB tetap berkeras hanya mahu menerima pelarasan kenaikan gaji tiga peratus sahaja.

"Jika isu ini tidak selesai dalam masa terdekat, kami akan mengadakan piket membabitkan 20,000 ahli kesatuan.

"Kami telah menyerahkan memorandum kepada pengurusan TNB supaya menaikkan kepada kadar yang lebih tinggi tetapi tidak diendahkan," katanya.

Beliau berkata, TNB mempunyai kira-kira 28,000 kakitangan di seluruh negara.

Katanya, kerajaan menswastakan TNB pada 1990 dan kini ia berada di bawah Khazanah Nasional Bhd, sebuah unit pelaburan kementerian kewangan

Gaji CEO

"Pihak pengurusan TNB menolak permintaan kesatuan untuk mendapatkan pelarasan kenaikan gaji yang lebih tinggi atas alasan kos meningkat ekoran kenaikan harga minyak," katanya.

Bagaimanapun, katanya alasan tersebut tidak diterima kerana syarikat korporat tersebut mencatat keuntungan RM4 bilion tahun lalu iaitu yang paling tinggi dalam sejarah penubuhannya.

Beliau berkata, menurut laporan tahun TNB, gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Datuk Che Khalid Mohamad Noh sekarang ialah RM1,107,280.00 setahun.

Katanya, laporan itu juga menyebut bahawa Che Khalid mempunyai saham dalam syarikat tersebut sebanyak 735,000 unit.

Beliau berkata, pihaknya akan berunding untuk menentukan tindakan lanjut jika pengurusan TNB terus enggan melayan permintaan pekerja mereka.

"Ramai pekerja TNB berkata mereka lebih rela diserapkan sebagai kakitangan kerajaan daripada berada di bawah TNB.

'Azman tidak faham keadaan'

"Mereka telah meminta kesatuan supaya mencari jalan supaya kakitangan TNB diserapkan sebagai kakitangan kerajaan yang lebih terjamin.

"Kini pendapatan pekerja TNB lebih rendah daripada kakitangan kerajaan ekoran kenaikan gaji sehingga 41 peratus tahun lalu," katanya lagi.

Beliau juga ditanya mengenai kenyataaan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar bahawa gaji Che Khalid akan dinaikkan 100 peratus sebagai menghargai sumbangannya kepada kemajuan TNB yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pemimpin kesatuan itu berkata, kenyataan Azman itu jelas menunjukkan bahawa beliau tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku dan keadaan kakitangan bawahan TNB.

"Adakah pihak pengurusan TNB memberitahu Azman perkara yang sebenarnya mengenai keadaan kakitangan gaji kakitangannya," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Azman supaya mendapatkan maklumat sebenar dari pihak kesatuan.

ADS