Malaysiakini BERITA

Tiada rancangan piket, kata kesatuan TNB

Muda Mohd Noor  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Ketiga-tiga persatuan sekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan piket sementara menunggu jawapan balas pihak pengurusan berhubung penolakan mereka terhadap tawaran pelarasan kenaikan gaji kakitangan.

Ketiga-tiganya ialah Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB, Kesatuan Pegawai Rendah TNB dan Persatuan Eksekutif TNB yang mempunyai keahlian 25,000 orang.

Presiden Kesatuan Pegawai Rendah TNB, Md Zamri Md Yasin berkata mereka menolak tawaran pelarasan kenaikan gaji sebanyak tiga peratus dari pihak pengurusan TNB.

Md Zamri memberitahu Malaysiakini , beliau pihaknya juga sedang menunggu keputusan pengurusan TNB terhadap beberapa tuntutan kesatuan sekerja termasuk tawaran pelarasan tersebut.

"Kita mengambil keputusan tidak perlu mengadakan piket kerana masih menunggu keputusan dari pengurusan TNB," katanya sambil menambah keputusan itu dibuat dalam mesyuarat antara semua kesatuan tersebut petang tadi.

Bagaimanapun, Md Zamri enggan menjelaskan apakah tuntutan yang dikemukakan kepada TNB itu.

Pintu rundingan antara kesatuan dengan TNB, tambah beliau, belum tertutup.

Tidak puashati

Md Zamri menegaskan demikian sebagai menjelaskan laporan dalam Malaysiakini hari ini yang menyebut pihak kesatuan merancang untuk mengadakan piket kerana tidak puashati dengan tawaran pelarasan kenaikan gaji sebanyak tiga peratus kepada kakitangannya.

Katanya, apa juga keputusan yang akan diambil akan bergantung kepada jawapan balas dari pihak pengurusan TNB berhubung tuntutan tersebut.

Laporan Malaysiakini itu memetik seorang pemimpin kesatuan itu yang enggan namanya disiarkan sebagai berkata, pihak kesatuan sangat kecewa dengan tindakan syarikat tersebut yang hanya menawarkan pelarasan kenaikan gaji sebanyak tiga peratus kepada kakitangannya.

Latanya, TNB juga tidak membayar elaun sara hidup (COLA) dan elaun perumahan kepada kakitangannya.

"Kami telah berunding empat kali sejak April lalu tetapi belum menemui jalan penyelesaian kerana TNB tetap berkeras hanya mahu menerima pelarasan kenaikan gaji tiga peratus sahaja.

"Jika isu ini tidak selesai dalam masa terdekat, kami akan mengadakan piket membabitkan 20,000 ahli kesatuan.

"Kami telah menyerahkan memorandum kepada pengurusan TNB supaya menaikkan kepada kadar yang lebih tinggi tetapi tidak diendahkan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menswastakan TNB pada 1990 dan kini ia berada di bawah Khazanah Nasional Bhd, sebuah unit pelaburan kementerian kewangan

Gaji CEO

"Pihak pengurusan TNB menolak permintaan kesatuan untuk mendapatkan pelarasan kenaikan gaji yang lebih tinggi atas alasan kos meningkat ekoran kenaikan harga minyak," katanya.

Bagaimanapun, katanya alasan tersebut tidak diterima kerana syarikat korporat tersebut mencatat keuntungan RM4 bilion tahun lalu iaitu yang paling tinggi dalam sejarah penubuhannya.

Beliau berkata, menurut laporan tahun TNB, gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Datuk Che Khalid Mohamad Noh sekarang ialah RM1,107,280.00 setahun.

Katanya, laporan itu juga menyebut bahawa Che Khalid mempunyai saham dalam syarikat tersebut sebanyak 735,000 unit.

Beliau berkata, pihaknya akan berunding untuk menentukan tindakan lanjut jika pengurusan TNB terus enggan melayan permintaan pekerja mereka.

"Ramai pekerja TNB berkata mereka lebih rela diserapkan sebagai kakitangan kerajaan daripada berada di bawah TNB.

'Azman tidak faham keadaan'

"Mereka telah meminta kesatuan supaya mencari jalan supaya kakitangan TNB diserapkan sebagai kakitangan kerajaan yang lebih terjamin.

"Kini pendapatan pekerja TNB lebih rendah daripada kakitangan kerajaan ekoran kenaikan gaji sehingga 41 peratus tahun lalu," katanya lagi.

Beliau juga ditanya mengenai kenyataaan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar bahawa gaji Che Khalid akan dinaikkan 100 peratus sebagai menghargai sumbangannya kepada kemajuan TNB yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pemimpin kesatuan itu berkata, kenyataan Azman itu jelas menunjukkan bahawa beliau tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku dan keadaan kakitangan bawahan TNB.

"Adakah pihak pengurusan TNB memberitahu Azman perkara yang sebenarnya mengenai keadaan kakitangan gaji kakitangannya," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Azman supaya mendapatkan maklumat sebenar dari pihak kesatuan.