Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis telah merakamkan kenyataan naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin malam tadi berhubung dakwaan terbaru Raja Petra Kamaruddin mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

khairy jamaluddin Menurut Khairy, beliau telah memberitahu polis bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang laporan perisikan tentera dari perdana menteri atau mana-mana pihak.

Dalam akuan berkanunnya, Raja Petra mendakwa laporan tersebut telah diserahkan kepada Khairy untuk disimpan dengan selamat.

Khairy berkata, beliau juga telah memberitahu polis bahawa akuan berkanun itu, kandungannya dan tuduhan terhadap beliau, dibuat dengan niat yang jahat.

Beliau yang juga ahli parlimen Rembau memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen petang tadi.

Khairy berkata, beliau memberi kenyataan tersebut selama kira-kira sejam di Putrajaya.

Katanya, beliau akan berbincang dengan peguamnya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis sensasi dan pengendali blog Malaysia Today .

Khabar angin

Khairy berkata, beliau tidak tahu apakah motif Raja Petra tetapi menegaskan bahawa dakwaan itu dibuat berasaskan sumber-sumber dan khabar angin.

Katanya, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan ia telah mencemarkan kredibiliti beliau.

Ditanya sama ada polis juga telah merakamkan kenyataan dari bapa mertuanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy berkata ia harus ditanya kepada perdana menteri sendiri.

Raja Petra, dalam akuan berkanunnya 18 Jun lalu, mendakwa isteri timbalan perdana menteri Rosmah Mansor bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum wanita Mongolia itu diletupkan.

Beliau juga mendakwa dalam akuannya itu bahawa beliau mendapat maklumat bahawa perdana menteri menyedari mengenai dakwaan pembabitan isteri Najib.

Raja Petra mendakwa lagi, Abdullah menerima satu laporan bertulis dari pihak perisikan tentera, yang mengesahkan pendedahan beliau itu.

Laporan tersebut, dakwa Raja Petra, kemudiannya diserahkan kepada Khairy.

Selain Abdullah dan Khairy, dakwa Raja Petra, "seorang Sultan juga telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan menyedari tentang tuduhan berkenaan."

Polis hari ini mengesahkan telah mengambil keterangan Rosmah kelmarin.

Dua lagi yang dikaitkan dengannya - seorang berpangkat kolonel dan isterinya, yang juga pengawal peribadi Rosmah - turut disiasat.

Abdullah semalam menafikan menerima sebarang laporan perisikan berhubung kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

ADS