Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas pegawai kanan menteri besar Selangor didakwa menunjukkan resit dan akaun penerimaan wang derma, sepatutnya untuk kerajaan negeri, yang dimasukkan ke akaun PKR sehingga mencetuskan kontroversi dalam pentadbiran Pakatan Rakyat.

Mohd Yahya Mat Sahri, yang meletakkan jawatannya itu Isnin lepas, dikatakan membuat pendedahan itu dalam mesyuarat perhubungan PKR Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

"Beliau (Yahya) juga mengakui membawa wakil PAS dalam mesyuarat (tentang akaun tersebut)," kata seorang, daripada beberapa pemimpin parti yang turut hadir, kepada Malaysiakini .

selangor 100 days stadium 210608 anwar Wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor, kata sumber-sumber, "dipindahkan kepada akaun PKR negeri kerana Pakatan belum mempunyai akaun tersendiri."

Akaun itu dipercayai wujud sejak kempen pilihanraya umum Mac lalu sebelum parti itu, bersama DAP dan PAS, berjaya merampas Selangor daripada BN.

Cara PKR mengendalikan wang derma itu dilaporkan dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, khususnya exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengetuai jawatankuasa sambutan tersebut.

Menurut menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengakui wujud pemindahan wang tersebut Isnin lalu, jawatankuasa sambutan itu turut disertai oleh Yahya dan beberapa pegawai kerajaan negeri.

Abdul Khalid, yang juga ketua perhubungan PKR negeri, turut hadir bersama Yahya, yang telah melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan negeri Isnin lalu.

Dalam mesyuarat semalam, Anwar meminta semua pihak akur pada keputusan menteri besar menggantung tugas Yahya selama dua bulan mulai Isnin.

Beliau juga dikatakan menegur Yahya yang membangkitkan masalah dalaman kerajaan dan isu parti kepada pihak media – bagaimanapun tidak jelas isu sebenarnya yang dibangkitkan.

selangor 100 days stadium 210608 crowd 03 Ketua umum PKR juga dikatakan meminta semua pemimpin parti agar tidak mengetengahkan masalah yang membabitkan parti kepada pihak media.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya mesyuarat malam tadi berjalan dengan baik dan dalam suasana ceria," kata sumber-sumber itu.

Menurut mereka lagi, Yahya telah memohon maaf kepada semua yang hadir berhubung tindakannya mendedahkan isu-isu itu kepada media.

Anwar juga dikatakan meminta menteri besar menggantikan pegawai-pegawai tinggi era pentadbiran BN yang masih mengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Sumber-sumber itu berkata, penggantian itu tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelak rasa kurang senang rakyat Selangor.

Mesyuarat selama dua jam itu bermula selepas jam 9 malam di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.

Turut hadir di mesyuarat itu, wakil-wakil rakyat PKR negeri, ketua-ketua bahagian dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dari negeri itu.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini dilaporkan sedang menyiasat dakwaan pemindahan wang kerajaan itu ke akaun PKR.

Akhbar-akhbar hari ini melaporkan Abdul Khalid berkata penggantungan Yahya akibat isu kutipan wang sempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor.

ADS