kemaskini 8:50pm Pesuruhjaya tinggi Malaysia di Singapura membantah penerbitan artikel yang didakwa memaparkan tanggapan negatif terhadap isteri timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam suratnya kepada pemilik akhbar Today semalam, Datuk N Parameswaran berkata beberapa ulasan tentang Rosmah Mansor sebagai "ayat-ayat nakal".
"Sudah tentu akhbar anda tahu bahawa Datin Seri Rosmah bukan orang biasa. Beliau isteri timbalan perdana menteri dan juga menteri pertahanan Malaysia.
"Cubaan membentuk pandangan awam terhadapnya berdasarkan sumber yang dinyatakan (oleh penulis artikel itu) pastilah ayat-ayat yang nakal," katanya dalam surat kepada pengarah editorial MediaCorp Press, P N Balji.
Artikel bertajuk Under fire - the 'first lady-in-waiting' yang diterbitkan 27 Jun lalu memuatkan tiga ulasan rakyat Malaysia – termasuk AL Tan dan Agnes Teh – tentang Rosmah berhubung dakwaan Raja Petra Kamaruddin dan tabiatnya suka membeli-belah.
Berdasarkan pandangan Teh, artikel itu menonjolkan gambaran wanita itu sebagai seseorang yang "bercita-cita besar dan bongkak"
Sementara Tan pula menyifatkan Rosmah kurang merendah diri berbanding Jeanne Abdullah, isteri baru perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Raja Petra mendakwa Rosmah terlibat dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu – tetapi isteri Najib menafikannya – dalam akuan berkanunnya 18 Jun lepas.
Manakala isu tabiatnya yang didakwa suka membeli-belah dengan mewah dan kos pula ditanggung kedutaan Malaysia di London dibangkitkan ahli parlimen Gombak dan juga naib presiden PKR Azmin Ali di Dewan Rakyat, penghujung Mei lalu – dan perkara itu dinafikan oleh Najib sendiri.
Parameswaran berkata, sejak bertugas di Singapura pada 2003 dan berinteraksi secara langsung dengan Najib dan isterinya, sikap yang ditunjukkan Rosmah begitu berbeza dengan gambaran dalam akhbar republik itu.
"Tidak pernah saya dapati Datin Seri Rosmah 'sombong' atau 'tidak merendah diri' seperti gambaran tulisan Jessinta (Tan).
"Datin Seri Rosmah sering mesra kepada pegawai-pegawai kami dan saya sendiri dan sentiasa mengambil berat soal kebajikan kami," tambahnya.
Jika media di negara pulau itu berterusan memberikan gambaran negatif terhadap Najib atau isterinya, pesuruhjaya tinggi melahirkan kebimbangan timbalan perdana menteri tidak akan hadir satu dialog penting isu-isu pertahanan pada tahun depan.
"Saya akan sedih kalaulah pada tahun depan Datuk Seri Najib berasa tidak dalam kedudukan untuk hadir ke Dialog Shangri-La yang disertainya lima kali sejak mula lagi, atau jika keluarga Najib memutuskan untuk bercuti di negara lain," kata Parameswaran di perenggan terakhir surat peribadinya kepada syarikat akhbar tersebut.
Parameswaran, yang berpengalaman 39 tahun dalam bidang diplomasi, akan menamatkan perkhidmatannya di republik itu tiga bulan setengah lagi.
