BERITA

Yahya: Surat MB 'politik murahan' Ezam

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Jul 2008, 3:06 petang

kemaskini 2:02pm Bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor bermain "politik murahan" apabila mendakwa kepala surat pejabat menteri besar Selangor digunakan untuk meminta sumbangan bagi sambutan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat, kata bekas seorang pegawai kanan.

yahya sahri "Bagi saya, perkara itu (tindakan Ezam) adalah politik murahan," kata Mohd Yahya Mat Sahri (foto kiri) , bekas pegawai khas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang digantung tugas mulai 23 Jun dan menimbulkan kontroversi berhubung kutipan tersebut.

Dalam aduannya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam Mohamad Ezam mendakwa nombor faksimili yang tertera di surat itu juga menunjukkan ia dihantar dari pejabat Abdul Khalid – ketika itu Yahya masih bertugas.

Bekas ketua angkatan muda PKR itu dilaporkan berkata, dengan itu, PKR menggunakan pejabat menteri besar untuk tujuan individu dan parti, yang menurutnya satu bentuk "salah guna kuasa".

Yahya berkata, kertas yang ditunjukkan kepada media oleh Ezam hanyalah bahagian hadapan kiriman faksimili sahaja, tanpa mendedahkan kandungan surat yang dihantar serta individu yang menandatanganinya.

"Tunjuk fax cover , siapa pun boleh. Maksud (yang dikatakan sesuatu) surat mestilah ada tandatangan, isi dan kepala surat. (Contohnya) Kalau surat dihantar, sampul tidak boleh menjadi bukti tetapi surat itu sendiri," katanya.

Menurut Yahya lagi, muka depan kiriman faksimili itu "boleh diambil di mana-mana, boleh dibuat".

ezam to shah alam aca 010708 02 Beliau bagaimanapun enggan membuat penafian terhadap tuduhan bekas setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kerana "bukti" yang dikemukakan itu tidak wujud.

"Memang tak ada (surat ditunjukkan), jadi saya tak perlu nafi," kata Yahya, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.

Jumaat lalu, Yahya dilaporkan berkata "Ezam berbohong" berikutan dakwaannya terdapat sejumlah wang sumbangan daripada syarikat-syarikat swasta dimasukkan ke dalam akaun PKR sempena majlis sambutan itu.

Semalam, sebagai menjawab tuduhan lawan politiknya itu, Mohamad Ezam tampil ke pejabat BPR Selangor (foto kanan) untuk mengemukakan surat yang menurutnya boleh membantu siasatan kes itu.

"Ezam jangan buat kes baru. Mana enam kotak yang dia sebut-sebut dulu?" katanya kepada Malaysiakini hari ini apabila diminta mengulas tindakan ahli Umno itu, mengulas dakwaan Mohamad Ezam pada 1999 bahawa wujud enam kotak dokumen sulit mengenai salah laku barisan pemimpin negara.

Yahya menambah, sepatutnya Mohamad Ezam mendedahkan kandungan surat yang dikirim kepada sebuah syarikat swasta bagi membuktikan bahawa ia ada kaitan dengan kutipan derma untuk majlis berkenaan, 20 Jun lalu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan