Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akuan berkanun tidak boleh ditarik balik
Diterbitkan:  Jul 5, 2008 8:39 AM
Dikemaskini: 12:43 AM

Akuan bersumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, tidak boleh ditarik balik, kata Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

Katanya, akuan bersumpah itu dibuat mengikut prosedur betul dan disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah.

p balasubramaniam private investigator najib razak baginda altantuya murder case 3 "Akuan bersumpah adalah dokumen yang mengandungi keterangan yang diberi di bawah ikrar. Pengakuan bertulis di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Dalam kes ini semua keterangan diberi secara bersumpah tidak boleh ditarik balik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sesuatu akuan bersumpah boleh diselitkan tambahan atau pembetulan dan seperti dalam kes di mana seorang saksi memberi keterangan palsu di mahkamah dan sesiapa yang membuat akuan bersumpah palsu boleh melakukan satu kesalahan," katanya kepada Bernama semalam.

Semalam, Balasubramaniam, yang pernah memberi keterangan sebagai saksi pertama pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, mengedarkan akuan bersumpah setebal 16 muka surat pada 1 Julai dengan mendakwa wanita Mongolia yang dibunuh itu mempunyai hubungan dengan Najib.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 11.30 pagi ini, Balasubramaniam , menarik balik beberapa perenggan dalam akuan bersumpahnya dengan mengatakan kandungan akuan itu mengenai Najib adalah tidak benar.

Sementara itu, peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama kes pembunuhan Altantuya, berkata Balasubramaniam mempunyai hak untuk menggantikan akuan bersumpahnya dengan yang baru.

Komen peguam tertuduh

"Beliau tidak perlu melalui proses di mahkamah untuk akuan bersumpah yang baru, tetapi apakah status akuan yang sebelumnya?. Adakah ia satu penipuan?.

"Terserah kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan ke atasnya," kata Hazman yang dihubungi Bernama.

Peguam Hasnal Redzua Marican yang mewakili Koperal Sirul Azhar Omar, tertuduh kedua kes yang sama, berkata tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan akuan bersumpah ditarik balik.

Peguam Amer Hamzah Arsyad berkata perbuatan Balasubramaniam adalah tidak wajar dan seolah-olah mempermainkan undang-undang negara.

Tambahnya, bekas anggota polis itu sepatutnya berpendirian teguh dengan setiap dakwaan dalam kenyataannya sebelum ini.

ADS