BERITA

'Protes bukan untuk si warak, wali'

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jul 2008, 7:09 pagi

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa berkata perhimpunan membantah kenaikan harga minyak Ahad lalu "bukan untuk orang yang warak dan wali sahaja tetapi kepada semua pihak yang ingin menyuarakan bantahan".

Mengulas kontroversi persembahan penyanyi Carburetor Dung, exco kerajaan Kelantan itu menambah walaupun kumpulan pemuzik itu dianggap mempamerkan aksi tidak senonoh, mesej yang cuba disampaikan mereka kritikal terhadap kerajaan.

Menulis di blognya, Husam berkata jika seseorang mendengar semula lirik lagu-lagu kumpulan punck rock itu "ibarat terkena pada batang hidung mereka (kerajaan) sendiri."

"Kalau golongan muda seperti itu pun sudah boleh sindir kerajaan, ini menunjukkan sudah ada penyertaan dari pelbagai pihak bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan," katanya semalam.

carburator dung lewd performance at protes fuel price hike rally mppj stadium 070708 Tindakan penyanyi Carburetor Dung memalingkan punggung ke arah penonton sehingga menampakkan seluar dalam menimbulkan kecaman meluas banyak pihak, termasuk pemimpin dan penyokong PAS.

Ahad lalu, tindakannya itu menyebabkan mereka diserbu sekumpulan penyokong pembangkang di stadium Kelana Jaya sehingga penyanyinya Alak mengalami cedera ringan.

Husam bagaimanapun meminta semua pihak tidak menyalahkan aksi kumpulan itu semata-mata tetapi wajar menilai mesej dalam lagu-lagu mereka, antaranya Mari nyanyi menjilat – lagu mengkritik budaya mengampu di negara ini dan kebergantungan kepada kontrak.

"Saya bukannya pro kepada band rock itu tetapi kalau kita dengar semula seni kata lagu (yang dinyanyikan) itu ada mesej tertentu kepada kerajaan," kata Husam.

Bagaimanapun bagi pemimpin PAS yang menolak persembahan kumpulan tersebut, mereka enggan bertolak ansur.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Idris Ahmad menganggap parti itu "tertipu" sewaktu terlibat dalam perbincangan Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), penganjur perhimpunan tersebut.

Melalui blognya semalam, bekas pemimpin kanan Pemuda PAS itu berkata pemimpin parti yang terlibat dalam Protes telah berkompromi membenarkan konsert dengan syarat "nyayian yang tidak melampau dan seni kata yang baik".

"Rupa-rupanya pada hari itu kita kena tipu. Menyebabkan Pemuda dan Unit Amal memboikot. Tahniah pada adik-adikku Pemuda dan Unit Amal," katanya.

Tambahnya, demonstrasi Protes pada masa depan akan lebih berjaya jika dikawal seratus peratus oleh parti itu.

"Pengajaran demonstrasi Protes 6 Julai, lain kali biarlah PAS yang kawal semua. Kalau setakat jadi pengerusi (tetapi) kita tidak boleh kawal buat habis beras saja," katanya, mengulas kedudukan bendahari PAS Dr Mohd Hatta Ramli sebagai penyelaras Protes.

"Banyak demonstasi yang kita buat berjaya (dan) tidak haru-biru. Kalau ulang lagi demonstasi macam ini, untung secupak rugi seguni."

Timbalan ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pula berkata beliau pada mulanya bertolak ansur terhadap aktiviti dalam suasana yang "tidak menyinggung perasaan insan yang mukmin" dan jaminan persembahan itu "tidak melanggar etika seorang yang berakhlak dan bermoral."

Beliau menyifatkan tindakan Alak itu sebagai tidak beradab dan tidak sesuai.

"Ramai umat Islam yang hadir seperti memulaukan majlis dengan beredar meninggalkan majlis apabila persembahan memberi aksi 'londeh seluar'," kata Nasrudin di blognya awal minggu ini.

"Mungkin kerana terlalu marah, kerana minyak naik, maka mereka memaparkan aksi demikian sebagai protes. Wallahu a'lam . Pastinya ia bukan satu tindakan yang beradab dan sesuai."

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.