Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Konstabel dituduh rogol pelajar di balai polis
Diterbitkan:  Jul 18, 2008 6:00 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Seorang konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini terhadap tuduhan merogol seorang pelajar perempuan di Balai Polis Putra Heights, kira-kira sebulan lalu.

Jamil Abdul Sah, 27, didakwa merogol gadis berusia 17 tahun itu di bilik maklumat, balai berkenaan antara jam 6 dan 7 pagi, 18 Jun 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga disebat.

Jamil juga mengaku tidak bersalah, di tempat dan masa yang sama, atas pertuduhan meminta mangsa melakukan seks di luar tabii, demikian menurut Bernama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 377 B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat.

Peguambela Ariff Azami Hassan, yang mewakili Jamil ketika rayuan, berkata Jamil adalah penanggung tunggal keluarga dan mempunyai dua anak serta isteri.

Penolong Pendakwa Raya Norshamsinar Mohamad memohon agar mahkamah tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan adalah satu kesalahan serius dan jika tertuduh dilepaskan dibimbangi dia akan mengganggu pelajar dan saksi pendakwa.

Hakim Balqis Ain Mohd Ali kemudian menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Oktober depan untuk tarikh perbicaraan.

ADS