BERITA

Kurang korum, mesyuarat cawangan dibatalkan

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Jul 2008, 12:54 tengahari

Mesyuarat Umno cawangan Taman Setapak Indah Fasa Satu, bahagian Wangsa Maju yang dijadualkan berlangsung di Dewan Pusat Aktiviti Masyarakat hari ini terpaksa dibatalkan kerana tidak cukup korum.

Ketua Umno cawangan merangkap pemangku ketua Umno Bahagian Wangsa Maju Mejar (K) Datuk Zainal Nazeri Zainuddin berkata mesyuarat kali kelima itu sepatutnya bermula hari Sabtu selepas perasmian serentak mesyuarat Umno cawangan Wilayah Persekutuan minggu lepas.

Bagaimanapun, mesyuarat itu terpaksa dibatalkan kerana kehadiran ahli tidak memenuhi korum - 25 peratus dari jumlah seluruh keahlian.

Yang hadir ialah 68 anggota dari jumlah 71 yang ditetapkan.

"Kita akan menunda mesyuarat itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak sejajar dengan peraturan Majlis Tertinggi Umno yang tidak membenarkan mesyuarat dijalankan jika korum tidak mencukupi," katanya kepada Bernama.

Umno cawangan itu mempunyai 281 ahli yang berbayar dan merupakan salah satu daripada 40 cawangan dalam bahagian berkenaan.

Sebanyak 571 cawangan Umno di Wilayah Persekutuan mula mengadakan mesyuarat pemilihan masing-masing mulai 17 Julai hingga 24 Ogos ini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.