Malaysiakini BERITA

Dr Hassan nafi ditawar MB S'gor

Muda Mohd Noor  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali menafikan menerima tawaran jawatan-jawatan utama termasuk menteri besar seperti dakwaan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

hasan ali umno pas selangor talk quality hotel 300708 05 "Saya mendapat restu daripada presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk pertemuan itu," katanya.

"Tidak ada tawaran yang konkrit, sama ada jawatan menteri besar dan empat jawatan exco, saya tidak tahu."

Tambahnya, PAS mengadakan pertemuan tanpa niat untuk membincangkan secara khusus jawatan-jawatan tersebut.

"Saya tidak tahu saya (ditawarkan) akan dilantik jadi menteri besar," katanya kepada Malaysiakini selepas satu acara di sebuah hotel di Shah Alam.

Dr Hassan berkata beliau bertemu dengan Dr Mohamad Khir atas undangan bekas menteri besar itu, dilaporkan sejurus selepas keputusan pilihanraya umum Mac lalu diketahui.

Restu presiden

Dr Hassan bagaimanapun berkata beliau tidak ingat tarikh tepat pertemuan tersebut.

Dalam pertemuan dengan presiden Umno dan juga perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi beberapa selepas itu, Dr Hassan tidak ikut serta - beliau digantikan oleh timbalannya Ir. Khalid Samad.

Dalam pertemuan sulit PAS-Umno peringkat tertinggi ini - melibatkan juga timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa - Dr Mohamad Khir berkata beliau mencadangkan agar PAS diberi jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar serta empat exco di Selangor.

"Kita tidak datang untuk berbincang sebegitu khusus dengar Dr Mohd Khir," kata Dr Hassan lagi.

Bagaimanapun, exco kerajaan negeri Selangor itu mengulangi beliau bertemu dengan bekas menteri besar Selangor itu dengan restu presiden parti.

Beliau berkata, beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan, sebaliknya ia ditentukan oleh Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat.

Mengapa Khalid ganti

Dr Hassan juga menjelaskan mengapa beliau diganti oleh Khalid semasa rundingan dengan perdana menteri tidak lama selepas itu.

"Bukan soal penggantian tetapi kerana Khalid membincangkan isu yang ada kaitan dengan Selangor.

"Kalau saya hadiri pertemuan tersebut, (nanti) ada konflik kepentingan," katanya.

Katanya, ia kerana beliau telah menghadiri perjumpaan awal dengan Dr Mohd Khir dan perjumpaan kedua itu adalah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengenai dakwaan perdana menteri bahawa Umno Selangor mengajak PAS menubuhkan kerajaan negeri bersama di negeri itu, Dr Hassan berkata, PAS menolaknya kerana hendak memperkutakan Pakatan Rakyat.

Katanya, tidak ada perkara yang tidak ada kelemahan kerana kekurangan adalah perkara biasa.