Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Cadangan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan pelaksanaan hudud sebagai syarat penggabungan PAS dan Umno hanya pandangan "seorang pemimpin PAS" dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan muktamad parti itu, kata menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

"Saya merasakan apa yang diperkatakan sekarang hanya oleh seorang daripada pemimpin PAS dan oleh itu, kita tidak boleh menganggap (cadangan itu) sebagai keputusan muktamad (PAS).

"Saya serahkan pada pucuk pimpinan Umno untuk meneruskan sebarang usaha. Kita mahukan yang baik pada orang Melayu dan pada rakyat seluruhnya," katanya selepas melancarkan majlis penutupan bengkel Pelancongan Islam Antarabangsa di Putrajaya petang tadi.

Beliau turut mempersoalkan kenapa timbul syarat sedemikian dengan Umno sedangkan perkara itu tidak ditetapkan kepada DAP dan PKR, dua parti lagi yang membentuk Pakatan Rakyat.

"Kita boleh bercakap, berunding dengan sesiapa saja sesama Islam, sesama Melayu untuk kebaikan seluruh rakyat. Saya rasa tidak ada masalah.

"(Tetapi) kalau (PAS) meletakkan syarat... sebab itu saya katakan selama ini, adakah PAS meletakkan syarat yang sama kepada DAP dan PKR untuk mereka duduk bersama dan menubuhkan Pakatan?

"Kenapa dengan Umno saja ada syarat?

"Ataupun apakah sudah ada pakatan yang sudah dipersetujui DAP? Sebab itu, tanya DAP, selama ini mereka bekerjasama dengan PAS, mereka telah memberi jaminan bahawa mereka bersedia memenuhi kehendak PAS?" kata Ahmad Shabery.

Syarat jika ingin diletakkan, "mesti baik untuk semua orang" dan tidak boleh menjadi alasan untuk tidak mahu berbincang, tambahnya.

"Saya rasa duduk dan bincang lebih penting daripada memberikan syarat. Apa yang rakyat mahu adalah negara dan rakyat bergerak ke depan daripada berpolitik tentang berapa banyak kerusi kamu mahu."

Menjawab soalan pemberita sama ada ada kemungkinan kedua-dua parti itu bergabung, Ahmad Shabery berkata:

"Soal PAS masuk Umno tidak timbul. Sekarang kita cakap cuma dari segi muzakarah. Saya rasa muzakarah, muqabalah, walau apa pun, dengan siapa pun, bila kita kata bercakap, berbincang dengan siapa pun adalah satu perkara yang baik."

Beliau mendedahkan, cadangan muzakarah pada pilihanraya umum 1999 gagal kerana syarat-syarat yang diletakkan PAS.

"Saya rasa (meletakkan syarat) ini bukan kali pertama. Saya ingat pada pilihanraya 1999, ada perbincangan antara Umno dan PAS.

"Ahli panel telah ditentukan, tiga daripada PAS, tiga daripada Umno, jika tak silap. Tetapi selepas itu, PAS memberikan syarat juga. Dan perbincangan itu gagal. Saya tidak mahu kali ini turut berlaku," kata menteri penerangan.

(Isu muzakarah PAS-Umno seumpama itu muncul pada awal 2001. Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan.)

Ditanya kesediaan kementeriannya menyiarkan muzakarah itu secara langsung di kaca televisyen, jika berlaku, Ahmad Shabery berkata:

"Muzakarah lebih bersifat, duduk, berpakat, macam mesyuarat. Jadi mesyuarat janganlah buat secara langsung. Ini bukan debat," katanya.

Menurutnya, beliau tidak berhalangan memberikan ruang yang lebih kepada tokoh-tokoh PAS dalam RTM untuk menjayakan proses muzakarah kedua-dua parti itu.

"Tidak ada maslah. Sekarang pun ada beberapa program, kita jemput (pemimpin PAS). Cumanya mungkin waktu kita jemput itu kelapangannya tidak ada. Kami tiada masalah. Saya mengambil polisi lebih terbuka," katanya.

"Kalau tidak salah saya, dua hari lepas sudah ada program dalam RTM bercakap tentang prinsip muzakarah, (ia) melibatkan orang PAS juga," tambah Ahmad Shabery.

ADS