BERITA

Anwar: Pejabat PM, polis terlibat

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Ogs 2008, 2:53 tengahari

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pertuduhan liwat yang akan dihadapkan kepada penasihat PKR itu di mahkamah sesyen esok.

"Saya minta perdana menteri bertanggungjawab bagi kerosakan yang bakal dilakukan kepada negara ini dan integriti dan kehormatan orang Melayu," katanya di sidang media khas tentang kes mahkamahnya.

anwar permatang pauh pc 060808 05 Polis tengah hari tadi menyerahkan notis bertulis di rumah Anwar memintanya hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta pada pukul 10 pagi esok untuk mendakwanya bawah kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Penasihat PKR itu juga mendakwa beberapa individu di keliling perdana menteri bertegas mahu beliau dituduh di mahkamah, selain pegawai-pegawai polis walaupun pandangan profesional di pejabat Peguam Negara berbeza.

"Esok saya akan didakwa dengan satu jenayah yang saya tidak lakukan.

"Penjenayah-penjenayah sebenarnya, dalam usaha mereka menghina saya dan mengalihkan hasrat orang ramai menyaksikan perubahan, bersembunyi di belakang tabir yang dicipta oleh media arus perdana," katanya.

"Ia akan berlaku dengan sokongan aktif dan pembabitan berunsur jenayah peringkat tertinggi pasukan polis dan ahli politik - termasuk pejabat perdana menteri."

Anwar menuduh Abdullah berbuat demikian kepadanya demi menyelamatkan imejnya yang merosot teruk, termasuk gagal memajukan ekonomi Malaysia.

"Beliau sekarang membakar seluruh hutan demi menyelamatkan sebatang pokoknya sendiri," katanya.

Mantan timbalan perdana menteri malah menyifatkan Abdullah sebagai "penasihat ulung" kepada "jaksa negara" ketika menjawab soalan seorang pemberita daripada media Indonesia.

Diminta mengulas gesaan Mohd Saiful agar beliau bersumpah untuk membuktikannya tidak bersalah, Anwar berkata persoalan sumpah bukanlah isu politik, tetapi jenayah.

Daripada segi Islam, tambahnya, tuduhan yang dibuat mesti dikemukakan dengan bukti.

Mengulas lanjut soalan seorang wartawan Agendadaily.com berhubung perkara itu, Anwar berkata:

"Sumpah hanya cadangan Putera Umno yang patut belajar baca al-Fatihah supaya betul. Sebab itu saya tanya, apa motif saudara bertanya, kalau nak bincang soal politik atau budaya Melayu, kita sumpah demi angin dan lautan dan jembalang, saya bersumpah."

"Tetapi kalau hendak sebut (sumpah) guna nama Allah, jangan politikkan hal ini," katanya lagi, menyebabkan kumpulan wartawan ketawa.

Mengulas kesediaan bekas setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Nor mendedahkan "rahsianya" jika dikaitkan dengan konspirasi terhadapnya, Anwar enggan mengulas.

anwar permatang pauh pc 060808 02 "Tidak mengapa, itu (isu Mohamad Ezam) pun macam sumpah juga," katanya.

Pada 12 Julai lalu, Mohamad Ezam berkata beliau akan membongkar segala keaiban Anwar jika pemimpin PKR itu dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengaitkan bekas ketua Pemuda PKR itu dengan konspirasi politik berhubung kes liwat.

Ditanya bagaimana beliau akan membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah, Anwar berkata:

"Rakyat umum sudah tahu. Kamu buat tuduhan jahat tentang sodomi, sudah diperiksa duburnya (Mohd Saiful) tidak ada kesan (diliwat).

"Bagaimanapun, saya hendak katakan, doktor itu (dari Hospital Pusrawi) didera berhari-hari (supaya) menukar keterangannya. Ini negara apa? Ini hukum rimba namanya."

Cara Anwar menjawab soalan pemberita Indonesia menggunakan telo republik itu menyebabkan pemberita tempatan ketawa kecil.

Ditanya lagi tentang bukti berbentuk dokumen, beliau berkata:

"Dokumen itu bukan sekadar kuat. Sudah sah, 'nggak boleh dipertikai lagi. Sudah terlalu kuat. Sebab itu, mereka punya masalah tatkala mendapatkan pengesahan jaksa negara untuk memerintah supaya pendakwaan berlaku.

"Kalau begitu, apa motif mereka meneruskan pendakwaan? Motifnya politik, (ia bertujuan) untuk mengalihkan pandangan (awam) bahawa Pak Abdullah gagal mentadbir negara dan tahap popularitasnya merudum jatuh."

Selain Dr Wan Azizah, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan para pemimpin kanan PKR, kelihatan di sidang media itu peguam- peguamnya Sulaiman Abdullah dan Sankara Nair.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.