Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Labuan nafi wujud penipuan projek
Diterbitkan:  Aug 12, 2008 9:06 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal menafikan wujudnya penipuan, penyelewengan atau pemalsuan dalam pemberian projek oleh syarikatnya seperti yang dilaporkan akhbar hari ini, dan menyifatkan ia satu agenda politik.

Katanya, dua projek yang disebut itu iaitu pembinaan pasar dan sekolah yang masing-masing bernilai RM24.8 juta dan RM10.5 juta adalah melalui tender terbuka.

“Syarikat saya merupakan penawar harga terendah untuk projek-projek berkenaan. Apakah syarikat yang menawarkan harga terendah mendapat projek kerajaan menjadi kesalahan dan disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah?,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Yussof berkata tuduhan pihak tertentu yang mengatakan beliau memalsukan dokumen untuk mendapatkan pinjaman bank adalah fitnah semata-mata.

“Saya ingin memperjelaskan di sini bahawa tidak ada satu pun pemalsuan dokumen yang pernah saya buat," katanya.

"Kita sepatutnya menerima hakikat pihak bank buat masa sekarang mempunyai kakitangan profesional serta terlatih dan mustahil pihak bank gagal mengenali di antara dokumen-dokumen original atau palsu.

"Untuk itu, mereka yang menabur fitnah ini perlu dibawa ke muka pengadilan dan saya dalam masa terdekat akan membuat laporan polis,” tegasnya.

Mengenai sub-kontraktor yang disebut dalam laporan itu, Yussof berkata sub-kontraktor itu datang berjumpa dengan beliau bagi memohon membuat kerja-kerja sub-kontrak memandangkan beliau kontraktor Bumiputera.

“Tetapi saya terpaksa menamatkan kontrak beliau kerana beliau telah gagal melaksanakan kerja walaupun setelah diberikan tiga kali notis.

"Pihak syarikat saya akan mengambil tindakan undang-undang juga untuk menuntut kerugian daripada syarikat itu kerana kegagalan melaksanakan projek tersebut. Secara peribadi juga saya akan menyaman beliau kerana berniat jahat, menabur fitnah untuk menjatuhkan reputasi saya,” tambahnya.

Yussof mendakwa kes itu adalah satu agenda politik yang dibangkitkan di saat-saat pemilihan Umno Bahagian Labuan di mana beliau sendiri menawarkan diri untuk bertanding sebagai ketua bahagian.

ADS