Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB S'gor enggan mohon maaf
Diterbitkan:  Aug 13, 2008 9:26 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Menteri besar Selangor enggan meminta maaf berhubung cadangannya agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima 10 peratus pelajar bukan Bumiputera walau mencetuskan kemarahan orang Melayu dan bantahan pelajar universiti itu.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga berharap isu berkenaan tidak lagi dibesar-besarkan, lapor Bernama hari ini.

"Tak ada... ini bukan ada maaf atau apa, semua ini hanya untuk menerangkan isu yang telah dipolitikkan," beliau dipetik berkata, mengulas desakan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu yang mahu beliau berbuat demikian secara terbuka.

Semalam lebih 5,000 pelajar UiTM di Shah Alam dilaporkan berarak sejauh dua kilometer ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor yang menempatkan pejabat menteri besar sebagai tanda bantahan dan menyerahkan memorandum yang menyatakan rasa kesal mereka terhadap cadangan itu.

Abdul Khalid dilaporkan menjelaskan, kenyataannya Ahad

lepas bukanlah pendirian kerajaan Pakatan Rakyat atau PKR.

Katanya, kenyataannya dibuat ketika menjawab soalan daripada

media tentang kemasukan pelajar asing dan Bumiputera ke UiTM dalam konteks untuk mempertingkatkan mutu pendidikan tinggi sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada pelajar Melayu dan Bumiputera.

"Kerajaan negeri Selangor amat kesal ulasan ini dilaporkan di luar konteks asal dan lebih menjurus kepada isu perkauman," katanya.

Abdul Khalid menegaskan, beliau tidak pernah bermaksud

mempertikaikan hak keistimewaan pelajar Bumiputera dan sedar bahawa UiTM ditubuhkan bagi mengangkat martabat pelajar Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, seperti dilaporkan agensi berita itu, beliau merancang mengadakan perbincangan dengan universiti-universiti di Selangor supaya mereka dapat berusaha untuk mencapai tahap universiti bertaraf antarabangsa.

"Salah satu ciri yang menyebabkan universiti-universiti dikenali di

peringkat antarabangsa ialah keterbukaan universiti daripada segi idea dan kemasukan pelajar dan juga daripada segi penglibatan pelajar dalam perbincangan terbuka mengenai isu-isu semasa," katanya.

ADS