BERITA Malaysiakini

PM kecewa selepas naik komuter, LRT

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

dikemaskini Perdana menteri tidak berpuas hati dengan perkhidmatan keretapi komuter dan LRT selepas menaiki pengangkutan awam itu dari Serdang ke Masjid Jamek hari ini.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyaksikan sendiri masalah kesesakan terutama pada waktu puncak serta berbual-bual dengan penumpang bagi mendapatkan maklumat balas mengenai perkhidmatan itu.

Bercakap kepada Bernama di stesen Masjid Jamek, beliau mahu tindakan segera diambil untuk memperbaiki perkhidmatan sistem rel yang disediakan yang kurang memuaskan.

Beliau juga berkata, perkhidmatan itu tidak bersistematik, gerabak tidak mencukupi dan liputan laluan tidak meluas.

"Saya lihat tadi keadaan tren yang digunakan untuk penumpang setiap pagi untuk pergi kerja. Mereka sentiasa berebut-rebut bila tren tiba. Dari segi itu, ialah, nampaknya macam tak ada sistem.

"Yang ini yang saya rasa tak senang hati kerana rakyat tidak mendapat satu kepuasan daripada menggunakan tren. Ini kita kena perbaiki," Abdullah dipetik sebagai berkata.

komuter passengers Perdana menteri, yang tidak diiringi mana-mana pegawai daripada dua perkhidamtan rel itu, tiba di stesen Komuter KTM Serdang pada 8.15 pagi tetapi tidak dapat menaiki tren yang tiba pada waktu itu kerana terlalu sesak.

Beliau menaiki tren seterusnya yang tiba 15 minit kemudian untuk menuju ke KL Sentral, hab pengangkutan moden bagi pelbagai perkhidmatan rel.

Di situ, Abdullah juga dilaporkan terpaksa menunggu seketika untuk menukar kepada perkhidmatan LRT Putra untuk ke stesen Masjid Jamek kerana tren yang pertama tiba juga penuh.

Dalam kedua-dua tren yang dinaikinya itu, perdana menteri yang berbaju batik warna merah bercorak keemasan, terpaksa berdiri walaupun ada penumpang yang menawarkan tempat duduk kepada beliau.

Setiba di stesen Masjid Jamek pada 9.15 pagi, Abdullah berbual-bual dengan orang ramai.

Sebelum beredar, lapor agensi berita itu lagi, beliau sempat membeli beberapa jenis kuih daripada penjual di situ.

Perdana menteri berkata jadual perjalanan yang tidak tepat dan sikap penumpang yang berebut-rebut memasuki tren juga menimbulkan masalah kepada penumpang lain.

"Saya dapati memang tren-tren ini cukup sesak dengan penumpang, ada yang tunggu sampai tiga tren tak dapat naik, dan ada yang memintas dan mengetepikan orang tua.

"Saya mahu mesti ada perubahan dalam hal ini," katanya.

Perdana Menteri berkata langkah segera yang akan diambil termasuk memantapkan sistem jadual perjalanan dan sistem beratur, serta perhatian diberi kepada warga tua dan wanita yang membawa anak.

"Banyak lagi pandangan penumpang yang diberi kepada saya untuk diambil perhatian.

"Saya akan usahakan untuk memperbaikinya, saya akan cadangkan perubahan-perubahan," katanya.