Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Kuota 90:10 untuk lagu Melayu berbanding lagu Indonesia di stesen radio swasta akan menjadikan "artis manja dan tidak produktif", kata kumpulan pemuzik terkenal Meet Uncle Hussain.

"Untuk jangka masa panjang itu, saya rasa akan buat artis kita manja sedikit, tidak berapa produktif," kata pemain gitar dan vokal latar kumpulan itu, Taja.

taja guitarist meet uncle hussain rock band indie 250808 Meet Uncle Hussain, kumpulan indie aliran rock progresif yang sedang meningkat naik, mengulas cadangan sekumpulan pemuzik dan penggiat seni yang bernaung bersama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk memperkenalkan kuota itu.

Persatuan itu berhasrat akan dapat bertemu dengan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor untuk membincangkan perkara itu.

Taja menambah, cadangan memperkenalkan kuota 90:10 itu "terlalu berat" dan menyarankan kuota yang lebih munasabah.

"Saya rasa 70:30 lebih sesuai," katanya kepada Malaysiakini .

Mengulas sasaran kuota ini hanya melibatkan seniman Indonesia berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat dan Taiwan, Taja berkata:

“Mungkin kerana pemuzik Indonesia lebih senang ditangani.”

Beliau bagaimanapun berkata, kumpulannya yang diasaskan sejak 2001 tidak merasai kesan yang ketara dengan kehadiran karya dan seniman republik itu.

“Kalau dulu kami dapat bayaran banyak itu (untuk persembahan), sekarang pun lebih kurang juga,” katanya.

persatuan karyawan malaysia 2 Pengurus di Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Ahmad Abdullah berkata pertemuan dengan Shaziman dijangka dapat diadakan selepas selesai pilihanraya kecil Permatang Pauh esok.

Pihaknya masih menunggu kelapangan menteri berkenaan untuk menjayakan pertemuan itu.

Setakat ini 700 penggiat muzik merangkumi pemuzik, pencipta lagu dan ahli-ahli Karyawan telah menandatangani petisyen tuntutan kuota 90:10.

Bagaimanapun, tambah Ahmad, Karyawan buat masa ini memfokuskan siaran di radio berbahasa Melayu kerana saluran itu mempunyai pendengar yang paling besar.

"Stesen radio lain, kita buat secara berperingkat-peringkat,” katanya kepada Malaysiakini .

Ditanya peratus siaran di stesen-stesen yang dimaksudkan itu, beliau berkata tidak ada kayu ukur tertentu yang boleh diguna pakai untuk menjelaskannya.

“Tetapi kalau kita buka radio daripada pagi sampai ke petang, kita tahulah,” tambah Ahmad.

“Kita faham, mereka orang berniaga. Tetapi kalau ada undang-undang, mereka akan patuh.”

Ahmad berkata, cadangan kuota itu belum melibatkan persembahan pentas seperti di konsert dan kelab hiburan.

persatuan karyawan malaysia 1 Untuk membela nasib artis dan penggiat muzik tempatan, Karyawan sedang merancang memperkenalkan sistem akreditasi untuk menggredkan penyanyi-penyanyi.

“Kalau penyanyi itu dikelaskan sebagai Gred 1, hotel atau kelab tidak boleh tolak mereka,” katanya, sambil menambah idea itu masih di peringkat awal dan enggan menjelaskan maklumat lanjut perkara itu.

Diminta mengulas isu kuota itu, penggiat seni Mazir Ibrahim pula membantah cadangan itu kerana menurutnya masalah utama penyanyi tempatan berkaitan kualiti.

"Perkara ini yang menyebabkan mereka tidak dapat bersaing dengan artis-artis dari luar negeri seperti Indonesia," katanya.

Fenomena kebanjiran artis Indonesia bagaimanapun, menurut Mazir hanya menjejaskan artis arus perdana tetapi tidak kumpulan indie kerana mereka berada dalam pasaran berbeza dan bergerak secara bebas.

Bagaimanapun, jika cadangan itu dikuatkuasakan dalam bentuk undang-undang, beliau berharap tidak hanya memberi keuntungan sebelah pihak seperti artis-astis yang dekat dengan Karyawan seperti Mawi, Mas Idayu, Ella, Amy Search, Awie dan Wings.

ADS