BERITA

Najib: Mufti sah sumpah Saiful ikut Islam

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Ogs 2008, 12:41 tengahari

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, sumpah bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah mengikut Islam.

Katanya, perkara ini telah dijelaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur petang tadi, Wan Zahidi berkata beliau sangsi dengan kredibiliti Ramlang yang mengeluarkan fatwa atau bercakap mengenai sesuatu tanpa merujuk kepada kitab.

Menurut beliau, mana-mana individu yang ingin mengeluarkan sebarang fatwa atau hukum dalam Islam perlu mendalami ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab fekah bagi memperkukuhkan hujah mengenai sesuatu perkara.

Najib juga berkata, tindak-tanduk Anwar untuk tidak bersumpah menimbulkan keraguan kepada pengundi.

Ketika diminta mengulas mengenai peluang BN esok, beliau yakin Datuk Arif Shah Omar Shah mempunyai peluang cerah untuk menang.

"Saya merasa yakin dan positif kita mempunyai peluang untuk menang," katanya.

Arif Shah berdepan dengan Anwar dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim). Hanafi Hamat.

Sementara itu, Najib menasihatkan pengundi tidak merasa gentar dan takut untuk keluar mengundi esok.

"Walaupun pembangkang menghalang, menyusah dan menakutkan mereka, keluarlah mengundi esok," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.