BERITA Malaysiakini

Kuasa polis ambil DNA dipertikai

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Kuasa polis untuk mengambil sampel DNA dalam rang undang-undang identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) dipertikaikan oleh beberapa ahli parlimen sewaktu membahaskan isu tersebut.

Mereka juga meminta jaminan kerajaan agar sampel yang diambil tidak akan dimanipulasikan oleh sebarang pihak.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) berkata beliau mencadangkan kepada kerajaan agar satu pihak yang bebas diberikan tanggungjawab untuk mengambil sampel DNA tersebut, lapor Bernama .

"Kalau boleh, perlu adakan satu sistem pihak yang bebas yang diberikan tugas untuk ambil sampel dan pastikan data yang disimpan dalam Bank Data DNA sentiasa dilindungi dan tidak digunakan untuk tujuan lain," beliau dilaporkan berkata pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Seksyen 13 dalam rang undang-undang itu menyebut bahawa suatu sampel bukan intim hendaklah hanya diambil oleh seorang pegawai perubatan kerajaan atau seorang pegawai polis atau seorang ahli kimia.

Seorang pegawai polis juga boleh menggunakan segala cara yang perlu bagi maksud mengambil atau membantu pengambilan suatu sampel bukan intim daripada seseorang.

Gobind turut mempertikaikan mengapa pengambilan sesuatu sampel DNA itu tidak dilakukan oleh hakim atau majistret, lapor agensi berita itu lagi.

"Kenapa tidak kuasa itu diberikan kepada Majistret untuk tentukan sama ada sampel itu dibenarkan untuk diambil atau tidak, mengapa beri kuasa kepada polis?" katanya.

Beliau turut merujuk kes penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1992 dan mempertikaikan mengapa tilam yang terdapat tompokan darah ketika kejadian itu hanya dibawa ke mahkamah sebagai bukti enam tahun selepas itu.

Menteri Dalam Negeri kemudian bangun dan berkata: "Kalau Yang Berhormat gantikan tempat ini (Parlimen) sebagai mahkamah, ini sudah jadi lain."

Jawapan Datuk Seri Syed Hamid Albar itu menyebabkan Gobind mencabarnya untuk berdebat di luar dewan mengenai kes Anwar, tetapi ditolak menteri itu kerana menganggap ia sebagai membuang masa.

Sementara itu, menurut Bernama lagi, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) mencadangkan kerajaan mewujudkan satu unit atau jabatan khas yang tidak boleh dipertikaikan kredibilitinya untuk menguruskan hasil analisis sampel DNA.

"Bagaimana cara untuk tentukan supaya nanti kita tidak mahu dengar ada konspirasi atau manipulasi, mesti difikirkan mekanisme terbaik supaya tidak timbul keraguan agar sampel yang dibawa ke mahkamah nanti tidak dipertikaikan," katanya.

"Seseorang penjenayah perlu diambil DNAnya secara mandatori. Disebut di sini jika enggan memberi sampel maka kesalahan adalah denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

"Mereka mungkin boleh bayar, ada kelonggaran dalam rang undang-undang ini dan boleh beri masalah apabila pengambilan sampel DNA bukan sesuatu yang mandatori."