Anwar angkat sumpah MP esok

   

kemaskini 7:25pm Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen baru Permatang Pauh, akan mengangkat sumpah esok.

Beliau mengesahkan telah menerima surat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi ini berhubung keputusan pilihanraya kecil itu yang memihak kepada penasihat PKR.

anwar ibrahim pc 120508 03 Pandikar Amin menambah, Anwar telah dimaklumkan tentang majlis mengangkat sumpah pagi esok.

Anwar kembali ke dewan yang mulia itu selepas 10 tahun apabila meraih kemenangan besar malam tadi dengan menewaskan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah sebanyak 15,671 undi.

Mantan menteri kewangan itu, akan terus dilantik sebagai ketua pembangkang selepas mengangkat sumpah, berdepan dengan rakan kabinet lamanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pembentangan Bajet 2009, Jumaat.

Ketua Whip PKR, Mohd Azmin Ali dilaporkan berkata surat memaklumkan kesepakatan PAS dan DAP melantik Anwar Anwar mengetuai ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kepada yang dipertua dewan 4 petang tadi.

Kemunculan bekas timbalan perdana menteri ini paling dinanti-nantikan oleh banyak pihak, khususnya selepas ura-uranya merancang pembentukan kerajaan baru menjelang 16 September ini.

Lebih ramai pelawat termasuk bukan penyokong PKR dijangka ke bangunan Parlimen esok untuk mengikuti secara dekat langkah pertama Anwar ke Dewan Rakyat.

Permulaan sesi sidang dewan ke-12 selepas pilihanraya umum Mac lalu menyaksikan kunjungan pelbagai pihak, termasuk aktivis dan penulis blog, apabila buat pertama kali pembangkang mempunyai 82 ahli parlimen.

Mengulas kehadiran orang ramai, Pandikar Amin dilaporkan berkata keselamatan bangunan itu tidak akan diperketatkan dan "macam biasa."

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar memberi jaminan tidak ada tambahan anggota polis atau sekatan jalan raya bagi menghadapi situasi itu.

Malaysiakini
terkini untuk anda