Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Nurul Syazwani Noh mengesahkan menerima surat tunjuk sebab daripada Bersatu berhubung kehadirannya ke Perhimpunan Agung Umno, September lalu.

Bagaimanapun, Syazwani ketika dihubungi menegaskan bahawa dia masih ahli parti itu dan tidak pernah menyatakan sokongan kepada mana-mana parti politik lain.

Menurut Syazwani yang juga Ketua Bersatu Tanjong Karang, dia menghormati proses disiplin parti dan telah memberikan jawapan melalui saluran sewajarnya.

“Apa yang ingin saya tegaskan, sehingga hari ini saya masih ahli Bersatu. Saya tidak pernah mengisytiharkan keluar parti dan saya juga tidak pernah mengambil tindakan menyatakan sokongan kepada mana-mana parti politik lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata perbezaan pandangan dalam politik adalah perkara biasa, khususnya apabila melibatkan kepentingan rakyat dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, perbezaan pendirian tidak bermaksud dia menyokong parti lain.

Syazwani berkata sebagai Adun, dia perlu membezakan antara politik kepartian dengan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, termasuk mengekalkan hubungan kerja dengan kepimpinan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, kerjasama dengan pihak berbeza parti penting bagi memastikan masalah rakyat berkaitan perumahan, jalan raya, banjir, bekalan air dan kebajikan dapat diselesaikan.

“Saya tidak boleh mengatakan kepada rakyat bahawa masalah mereka tidak dapat saya bantu hanya kerana pihak yang mempunyai bidang kuasa datang daripada parti yang berbeza,” katanya.

Mengulas kemungkinan dikenakan tindakan disiplin, Syazwani berkata dia bersedia menerima sebarang keputusan parti, dengan syarat proses berkenaan dilaksanakan secara adil berdasarkan perlembagaan parti.

Dia juga mahu diberikan hak sewajarnya untuk didengar dan mempertahankan diri.

Pada masa sama, Syazwani menegaskan dia tidak akan meminta maaf kerana menjalinkan hubungan baik dan bekerjasama dengan kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan atau mana-mana pihak demi kepentingan rakyat.

“Bagi saya, menjadi pembangkang tidak bermaksud kita perlu bermusuh dengan semua orang.

“Kita boleh berbeza pendirian politik, kita boleh menegur dan mengkritik apabila perlu, tetapi apabila melibatkan kepentingan rakyat, kita mesti mampu duduk semeja dan bekerja bersama,” katanya.

Pada 11 Sept lalu, Syazwani mencuri perhatian apabila hadir ke PAU dengan mengenakan pakaian menyerupai seragam Wanita Umno.

Syazwani sebelum ini menjelaskan kehadirannya sekadar memenuhi jemputan daripada Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad.

Kehadirannya berlaku ketika Umno giat mengetengahkan gagasan Rumah Bangsa yang antara lain bertujuan menyatukan orang Melayu serta membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali menyertai parti itu.