Putrajaya mengesahkan bahawa tiada syarikat perladangan Malaysia terkait dengan pembakaran hutan di Indonesia yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan ketika ini.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, semakan itu telah pun dibuat oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Noraini Ahmad.

"Noraini telah memaklumkan semak silang dengan syarikat-syarikat Malaysia mempunyai konsesi sawit menunjukkan bahawa apa yang disaksikan, aktiviti pembakaran berlaku di luar konsesi sawit milik syarikat Malaysia.

"Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa terutama di Kalimantan, secara umum lebih 100 hari tiada hujan, kalau adapun tidak terlalu banyak.

"Terdapat satu ladang syarikat Malaysia yaitu Genting Plantations yang telah menyaksikan bukan pembakaran dari dalam (ladang) tapi api telah marak dari luar (merebak ke ladang) namun telah dipadamkan," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada 5 Okt, Greenpeace mendakwa syarikat perladangan dari Malaysia dan Singapura antara 20 entiri yang terbabit dalam pembakaran hutan di Indonesia.

Laporan itu turut menamakan sebuah kumpulan perladangan Malaysia—yang mempunyai kaitan dengan satu entiti perladangan Indonesia—sebagai antara 20 syarikat yang paling berkait rapat dengan kejadian kebakaran, berdasarkan set data punca jerebu bagi tempoh 1 Ogos hingga 1 Oktober 2026.

Menurut laporan tersebut, entiti Indonesia yang sama itu juga pernah dikenal pasti dalam satu laporan tahun 2019 kerana terdapat kejadian kebakaran di atas tanah miliknya.

Greenpeace mendakwa bahawa sekurang-kurangnya empat kawasan konsesi turut didapati mempunyai hubungan korporat dengan kumpulan perniagaan dari Singapura, dengan titik punca jerebu direkodkan di kesemua empat lokasi tersebut.

Ini termasuk kawasan konsesi yang mempunyai kaitan dengan kumpulan yang beribu pejabat di Singapura, entiti yang terhubung dengan Singapura melalui syarikat induk masing-masing, serta satu kepentingan perladangan kelapa sawit yang dikenal pasti berasal dari Singapura.

Dalam kenyataan di laman web, pejuang alam sekitar itu turut mendedahkan beberapa syarikat dari Malaysia dan Singapura terbabit dengan pembakaran hutan yang mengakibatkan jerebu.

Susulan jerebu yang melanda negara ketika ini, selain aspek kesihatan, pendidikan anak-anak di kawasan terjejas turut terkesan apabila sekolah terpaksa ditutup.

Dalam pada itu Fahmi bekata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan Isnin ini bagi menangani isu ini secara lebih mendalam.

Katanya, perbincangan itu akan melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementeri Pendidikan (KPM) dan Kementeri Belia dan Sukan (KBS).

"Hari Isnin akan diadakan satu mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri mengenai antara lain isu jerebu akan dibincangkan dan beberapa maklumat lanjut akan disusuli daripada mesyuarat pada hari Isnin nanti termasuk daripada pihak KKM, KPM, dan KBS," katanya lagi.

Dalam pada Fahmi berkata, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Indonesia bersedia untuk menerima bantuan Malaysia bagi membantu memadamkan kebakaran.

Katanya, tumpuan kini untuk mengenal pasti aset yang perlu dibawa ke sana bagi tujuan berkenaan.

"Isunya api telah marak dengan dengan agak meluas jadi apa-apa bentuk bantuan dan aset yang kami tawarkan sejak mungkin sebulan yang lalu, sekarang mungkin perlu dinilai semula untuk memastikan bantuan itu benar-benar mencapai maksud jadi perbincangan," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Selangor, Na’im Brundage kecewa dengan kenyataan Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan bahawa penghantaran nota diplomatik berhubung isu jerebu boleh menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia.

"Menteri Luar Negeri seharusnya memahami bahawa isu jerebu rentas sempadan ini sedang memberi kesan langsung terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

"Justeru, kerajaan wajar menggunakan saluran diplomatik rasmi untuk menyatakan pendirian yang tegas kepada kerajaan Indonesia demi mempertahankan kepentingan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Singapura telah menunjukkan pendekatan yang lebih tegas apabila menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat mengakibatkan jerebu ini.