Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, mengenang kembali peringatan yang disampaikan khatib dalam khutbah Jumaat yang disampaikan semasa solat Jumaat tengah hari ini.

Dalam hantaran dimuat naik petang ini, Ismail memetik kandungan khutbah bertajuk Membenteng Jiwa dengan Solat.

Menurut Ismail, antara kandungan dalam khutbah tersebut ialah peringatan mengenai solat yang bukan sekadar suatu kewajiban kepada umat Islam, malah menjadi asas membentuk kekuatan jiwa, memelihara keimanan dan membina akhlak yang mulia.

“Khatib berpesan, orang yang benar-benar menghayati makna sujud akan berusaha menjauhi sifat sombong, kebencian dan kezaliman.

“Dia (orang yang menghayati makna sujud) menyedari bahawa setiap manusia ialah hamba Allah SWT yang wajib dihormati haknya dan diperlakukan dengan adil,” katanya.

Sujud juga, tambah Ismail, melatih manusia untuk mengawal nafsu yang sentiasa menginginkan pujian, penghormatan dan keutamaan.

“Semoga Allah SWT membimbing kita untuk terus istiqamah dalam ibadah, memelihara akhlak dan menjadi insan yang membawa kebaikan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Ismail menunaikan solat Jumaat di Masjid kariah Beting di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Ia terletak dalam kawasan DUN Juasseh.

Untuk rekod Ismail merupakan Adun bagi kawasan tersebut.

Terdahulu tular beberapa rakaman video menunjukkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, memarahi Ismail secara terbuka di hadapan orang ramai.

Menurut Tuanku Muhriz, Ismail menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung penurunan takhta baginda.

Baginda yang berbaju Melayu warna merah jambu muda berdiri bersama jemaah lain selepas solat Jumaat dan menyampaikan teguran keras kepada Ismail sambil menegaskan bahawa baginda tidak berkenan bertemu ahli politik terbabit.

“Ismail Lasim telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar (Raja-Raja) baru-baru ini mengatakan keputusan yang dibuat bersama exco itu ialah sah, dan saya ini bukan lagi Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

“Tu pasal, datang hari ni jumpa saya buat apa?

“Selagi dia tak tarik balik balik apa dia kata tu, jangan jumpa saya. Go away, don't see me, i don't want to see you, okay? You understand?" titah baginda.

Insiden itu menunjukkan kemelut melibatkan kerajaan negeri dan Tuanku Muhriz - yang bermula tidak lama selepas Ismail dilantik menjadi menteri besar pada 2 Ogos lalu - belum menampakkan sebarang petanda untuk terlerai.