Pengurusan Biara Gua Sakyamuni menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), kerajaan Perak dan pihak berkuasa tempatan menyiasat sekatan akses serta gangguan yang didakwa berlaku di Gunung Kanthan.

Bagaimanapun, syarikat Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd (APMC) mempertahankan tindakan menyekat pintu masuk utama biara itu dengan alasan mahu menghalang kemasukan bahan binaan dan jentera berat yang didakwa digunakan untuk membina struktur tambahan tanpa kebenaran.

APMC merupakan syarikat pengeluar simen dan anak syarikat YTL Cement yang berada di bawah kumpulan YTL.

Menurut APMC, sekatan itu tidak menutup sepenuhnya akses ke kawasan berkenaan kerana dua laluan pejalan kaki masih tersedia.

“Matlamat kami jelas, iaitu untuk menghalang pembinaan selanjutnya dan mengekalkan keadaan sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Dalam kenyataan semalam, Malaysia Dhamma Sakyamuni Monastery (MDSM) mengemukakan tujuh tuntutan, termasuk menyiasat sekatan di pintu masuk utama biara, menjamin keselamatan serta kebebasan bergerak para sami dan menyiasat penerbangan dron berulang kali di kawasan itu.

MDSM mendakwa sekatan fizikal dan gangguan berterusan berlaku ketika para sami menjalani Vassa, iaitu tempoh pengasingan dan latihan kerohanian penganut Buddha semasa musim hujan.

Menurut pihak biara, bongkah diletakkan di pintu masuk utama sejak 23 Jun sebelum palang besi dipasang padanya pada 29 Sept. Sebuah lagi pondok kawalan didirikan pada 13 Okt.

Mereka turut mendakwa dron diterbangkan berulang kali pada ketinggian kira-kira 20 kaki di kawasan biara, dengan kekerapan dua hingga tiga kali seminggu. Keadaan itu, menurut mereka, menimbulkan kebimbangan terhadap privasi, keselamatan dan kebebasan menjalankan amalan keagamaan.

MDSM turut menggesa pihak berkuasa melindungi amalan keagamaan sepanjang tempoh Vassa, menghormati prosiding mahkamah yang sedang berlangsung dan memudah cara rundingan bagi mencapai penyelesaian secara aman dan adil.

Mereka juga meminta semua keputusan berkaitan kawasan itu mematuhi Rancangan Tempatan Ipoh 2035.

“Kami ingin mengingatkan bahawa Rancangan Tempatan Ipoh 2035 melarang secara tegas sebarang aktiviti kuari di Gunung Kanthan,” kata pihak biara.

Menurut MDSM, rancangan itu memperuntukkan pemuliharaan bukit batu kapur dan geotapak di bawah Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.

Mahu keputusan mahkamah dihormati

Sebaliknya, APMC pula mendakwa kerja pembinaan dan peluasan berterusan boleh menyebabkan kerosakan lanjut terhadap persekitaran semula jadi kawasan itu, selain bercanggah dengan pendirian pihak biara yang mahu Gunung Kanthan dipelihara.

Syarikat itu turut menegaskan bahawa pemilikannya terhadap tanah berkenaan telah diputuskan dan disahkan oleh mahkamah.

“Keputusan mahkamah mesti dihormati,” katanya.

APMC berkata sebagai pemilik tanah dalam kawasan kuari aktif, pihaknya bertanggungjawab memastikan keselamatan dan sekuriti kawasan berkenaan.

“Kami tidak mahu memburukkan keadaan. Kami mahu menghalang pembinaan lebih banyak struktur tanpa kebenaran,” katanya.

Syarikat itu turut menyerahkan beberapa gambar kepada Malaysiakini yang didakwanya menunjukkan jentera berat dan bahan binaan di kawasan biara.

Pertikaian berlarutan sejak keputusan mahkamah

Biara Gua Sakyamuni, yang menurut pihak biara berusia kira-kira satu abad, berdepan ancaman pengosongan dan perobohan susulan tindakan APMC.

Pertikaian itu berlarutan selepas Mahkamah Rayuan membenarkan pengusiran pada 2023. Saman sivil yang difailkan pihak biara terhadap APMC pula dibatalkan mahkamah pada 2 Sept 2026, dan keputusan itu kini dirayu oleh pihak biara.

Bagi menghalang pelaksanaan waran pemilikan (Writ of Possession) oleh APMC, pihak biara turut memohon penangguhan pelaksanaan (stay of execution).

Menurut MDSM, permohonan itu pada asalnya dijadualkan untuk pendengaran pada 9 Sept lalu. Bagaimanapun, pendengaran tersebut dibatalkan dan tarikh baharu masih belum ditetapkan.

Selain tindakan undang-undang, kumpulan sami itu turut memohon campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi memelihara tapak berkenaan dan alam sekitarnya.

MDSM menegaskan Gunung Kanthan merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Hutan Tahap 1 serta geotapak Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.

Mereka turut berkata penilaian pakar geologi kejuruteraan mengesahkan gua berusia kira-kira satu abad itu selamat dan sesuai untuk terus diduduki.