Presiden PAS mengakui bahawa BN akan memimpin negeri Melaka dan partinya akan bersama dalam kerajaan sekiranya memenangi pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Perkata itu dijelaskan Abdul Hadi Awang yang turut menegaskan akan meneruskan kerjasama dengan BN seperti mana PRN di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

“Kita usaha diteruskan (kerjasama), dan untuk makluman awal kita terima hakikat Melaka dipimpin oleh BN, kita dalam kerajaan,” katanya pada sidang media sempena International Summit 2026 di Terengganu, semalam.

Anggota Parlimen Marang itu berkata demikian ketika ditanya berhubung kerjasama PAS dan BN dalam menghadapi PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 Nov.

Ketika ditanya berhubung laporan media menyatakan penyandang Adun Merlimau Dr Akmal Saleh tidak akan mempertahankan kerusi itu bagi memberi laluan kepada calon PAS, Abdul Hadi bagaimanapun berkata, perkara itu belum dimuktamadkan.

Namun katanya, PAS sudah mempunyai senarai nama calon yang akan diketengahkan dan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon.

“Sebahagian besar selesai dah perbincangan, tunggu masa penamaan calonlah.

“Kita ada senarai calon-calon ramai yang mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dan yang akan menentukan siapa bertanding PAS Pusat.

“Itu (kerusi Merlimau) belum diputuskan,” katanya ringkas.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Akmal dijangka menyerahkan kerusi Merlimau kepada PAS dalam PRN ke-16 itu.

Ketua Pemuda Umno itu mengucapkan terima kasih kepada pengundinya menerusi satu hantaran di Facebook, sambil bertanya, "ke mana selepas ini?"

Terdahulu, akhbar The Star memetik sumber PAS Melaka yang mengesahkan bahawa ketua parti negeri itu, Zulkifli Ismail, akan diletakkan sebagai calon di Merlimau. Zulkifli juga merupakan Ahli Parlimen Jasin.

Akmal memenangi kerusi Merlimau pada PRN 2021—yang menyaksikan kadar keluar mengundi yang rendah—dengan meraih 58 peratus undi.

Analisis data pengundian daripada electiondata.my menunjukkan bahawa menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, sokongan terhadap BN di kerusi tersebut telah merosot kepada 39 peratus. Walau bagaimanapun, sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) berada pada tahap 30 peratus.

Memandangkan Umno dan PAS kini mengutamakan agenda penyatuan Melayu, Merlimau dijangka kekal sebagai kerusi selamat.