PKR Negeri Sembilan menggesa Menteri Besar, Ismail Lasim memberi penjelasan mengenai surat yang diutuskan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan mendakwa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pengarah Komunikasi PKR negeri, Shariman Che Deris berkata dakwaan itu, yang dibangkitkan Tuanku Muhriz ketika menegur Ismail secara terbuka semalam, memerlukan penjelasan daripada menteri besar.

"Dalam hal ini, Menteri Besar perlu memberikan penjelasan yang sewajarnya berkaitan perkara yang ditimbulkan oleh Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Tuanku Muhriz dalam satu rakaman video selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Beting Kuala Pilah menempelak Ismail berhubung surat yang diutuskan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Ismail Lasim telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar (Raja-Raja) baru-baru ini mengatakan keputusan yang dibuat bersama exco itu ialah sah, dan saya ini bukan lagi Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

“Tu pasal, datang hari ni jumpa saya buat apa?

“Selagi dia tak tarik balik apa dia kata tu, jangan jumpa saya. Go away, don't see me, i don't want to see you, okay? You understand?"titah baginda dalam rakaman yang tular.

Selain itu Shariman turut meminta penjelasan Ismail mengenai tindakannya menandatangani surat proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz, selain pendirian kerajaan negeri terhadap keputusan baginda menarik perkenan terhadap 10 exco terbabit.

"Tindakan-tindakan yang dizahirkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan ini menampakkan kegagalan beliau dalam berurusan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Ini adalah komunikasi pentadbiran yang sangat lemah," katanya.

Ismail sebelum ini mengesahkan dia menandatangani surat proklasmi penurunan takhta Tuanku Muhriz oleh Undang Yang Empat, namun kemudian mendakwa dia berbuat demikian di bawah tekanan.

Menteri besar itu juga menegaskan bahawa dia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang menduduki takhta Yang di-Pertuan Besar.

Pertikaian itu semakin meruncing selepas proklamasi berkaitan pelantikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diumumkan untuk diwartakan.

Tuanku Muhriz kemudiannya menarik balik pelantikan 10 exco terbabit, namun mengekalkan Ismail sebagai menteri besar.

Exco terbabit kemudian mencabar tindakan berkenaan di mahkamah.

Tangguh sidang DUN

Sementara itu Shariman turut mengkritik kerajaan negeri berhubung penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya bermula semalam.

Katanya, penangguhan itu dibuat tanpa pemakluman sewajarnya kepada 11 Adun pembangkang.

Menurutnya, Adun berkenaan yang diketuai oleh Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Arul Kumar, telahpun bersedia dengan 10 persoalan untuk dibahaskan,

Namun katanya, sidang DUN ini tidak diambil serius oleh Menteri besar dan Adun Kerajaan dengan semudah-mudahnya ditangguhkan tanpa pemberitahuan awal.

"DUN bukan milik mana-mana individu atau parti politik. Ia merupakan institusi demokrasi yang membawa mandat rakyat,” katanya.

Justeru Shariman menggessa kerajaan negeri memberikan penjelasan rasmi mengenai penangguhan sidang DUN, termasuk sebab, tatacara dan kaedah pemakluman kepada semua Adun.

PKR Negeri Sembilan turut meminta kerajaan negeri menghormati institusi demokrasi dan institusi diraja melalui tindakan berhemah, komunikasi bertanggungjawab dan pematuhan kepada peraturan serta perlembagaan.

"Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah, bukan membiarkan persoalan berlarutan. Rakyat berhak mendapat pentadbiran yang telus, matang dan bertanggungjawab.

"Apabila amanah dipersoalkan, penjelasan mesti diberikan. Apabila keyakinan rakyat terjejas, tindakan memulihkannya mesti bermula dengan kejujuran dan akauntabiliti," ujarnya.