Naib Presiden PKR, Amirudin Shari menolak tanggapan bahawa parti itu menggunakan taktik kotor untuk memerangkap lawan politiknya.

Ia susulan dakwaan yang tular di media sosial terhadap parti itu berikutan tangkapan khalwat membabitkan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Amirudin berkata budaya politik kotor sedemikian tidak pernah wujud dalam kerangka kerja PKR.

“Eh, tak adalah, kita pun banyak kerja lain daripada nak atur khalwat.

“Mungkin ada masalah lain saya pun tak tahu,” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette selepas majlis perasmian program Semarak Kasih Yayasan Selangor di Kuala Lumpur Convention Centre hari ini.

Amirudin juga menafikan parti itu pernah membincangkan usaha untuk memerangkap lawan politik.

“Itu tak betul sama sekali, tak pernah dibincangkan pun sama ada secara rahsia atau terbuka untuk memerangkap lawan politik.

“Itu bukan kerja kita.

“Kita pun tak nak membawa isu-isu peribadi untuk dijadikan asas kepada pertarungan dan perbincangan politik,” kata Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor.

Penafian itu dibuat selepas Nik Nazmi, bekas naib presiden PKR, hari ini mengesahkan dia ialah bekas menteri yang ditahan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atas dakwaan berkhalwat dengan seorang wanita di Petaling Jaya.

Nik Nazmi, yang telah meninggalkan PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama), memohon maaf kepada isteri, keluarga serta partinya berikutan kejadian itu, yang disifatkannya sebagai satu kesilapan.

Ahli politik berumur 44 tahu itu berkata pada mulanya, dia bersama beberapa rakan membincangkan satu projek di studio mereka di Brickfields sebelum memutuskan untuk meneruskan perbincangan itu di sebuah kediaman di Petaling Jaya bagi meneliti bahan berkaitan projek berkenaan.

Nik Nazmi menegaskan dia mahupun wanita terbabit tidak melakukan sebarang perbuatan tidak wajar yang boleh menimbulkan syak wasangka.

Dia turut menolak dakwaan bahawa kejadian itu merupakan sebahagian daripada konspirasi atau gerakan politik untuk menjatuhkan pemimpin tertentu.