Bersama menggantung tugas Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai pengerusi bersamanya daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan susulan pengakuannya yang ditangkap dalam kes khalwat.

Presiden Bersama, Syukri Razab dalam satu kenyataan hari ini berkata penggantungan itu berkuat kuasa dari 20 Okt hingga 19 Jan tahun depan.

Syukri berkata Bersama memandang serius perkembangan itu dan berpendirian setiap isu melibatkan kepimimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti.

"Bersama berpendirian bahawa keputusan ini adalah perlu dan munasabah, tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen saudara Nik Nazmi kepada perjuangan Bersama sejak parti ini dilancarkan semula pada Mei 2026,” kata Syukri (gambar bawah).

Penggantungan itu bermakna bekas ahli parlimen Setiawangsa berkenaan tidak akan menyertai kempen Bersama bagi menghadapi pilihan raya negeri Melaka akan datang.

Terdahulu, Nik Nazmi mengesahkan bahawa dia adalah individu yang ditangkap pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam kes khalwat dengan seorang wanita bukan mahram di sebuah rumah di Petaling Jaya, 15 Oktober lalu.

Dalam satu kenyataan, dia mengakui kejadian itu sebagai satu kesilapan dan memohon maaf kepada isteri, keluarga serta semua pihak yang terkesan dengan insiden berkenaan.

Nik Nazmi berkata, kejadian itu berlaku selepas dia bersama rakan-rakannya memulakan perbincangan di studio mereka di Brickfields sebelum memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek yang dibincangkan.

“Pada masa pegawai Jais tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan,” katanya.

Nik Nazmi turut menjelaskan bahawa dia dan wanita berkenaan tidak melakukan sebarang perbuatan sumbang yang menimbulkan syak wasangka seperti dimaklumkan kepada pegawai Jais.