Penjara di peringkat akhir muktamad syarat tahanan rumah Najib
Jabatan Penjara kini di peringkat akhir menggubal peraturan dan syarat bagi pelaksanaan tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin berkata Najib masih berada di Penjara Kajang kerana belum melunaskan denda RM50 juta, yang menjadi salah satu syarat untuk dia menjalani baki hukuman kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Kenyataan itu menyusuli dakwaan peguam Najib, Shafee Abdullah, awal minggu ini bahawa anak guamnya sudah menerima syarat tahanan rumah daripada Jabatan Penjara, tetapi diarahkan supaya tidak mendedahkan butirannya kepada umum.
“Jabatan Penjara Malaysia sedang di fasa akhir, sedang menggubalnya. Negara kita tidak pernah ada (tahanan di rumah) sebelum ini tetapi tiba-tiba ada… Dalam surat Urus Setia Lembaga Pengampunan kepada Jabatan Penjara Malaysia, disebut Jabatan Penjara Malaysia bolehlah mengadakan apa-apa syarat.
“Jadi, tugas kami (Jabatan Penjara Malaysia) ialah untuk membangunkan satu set peraturan yang sekarang sedang diusahakan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Menurutnya, surat daripada Urus Setia Lembaga Pengampunan membolehkan Jabatan Penjara menetapkan syarat bagi pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.
Katanya, kaedah itu belum pernah dilaksanakan di negara ini dan jabatan berkenaan sedang menyediakan satu set peraturan untuk pelaksanaannya.
Saifuddin berkata demikian selepas merasmikan pelancaran program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Felda Tenang, Jertih, hari ini.
Pada 14 Oktober, Shafee mendakwa Najib sudah menerima prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Penjara bagi pelaksanaan tahanan rumah.
Bagaimanapun, katanya, Najib diarahkan supaya tidak mendedahkan butirannya kepada orang ramai atau media kerana maklumat itu hanya untuk kegunaannya sendiri.
“Alasan yang diberikan ialah jika butiran itu didedahkan kepada umum, media dan orang ramai akan mula membuat spekulasi dan membahaskan perkara itu,” kata Shafee kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Menurut Shafee, Najib akan menjalani tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta bersama keluarganya.
Pendedahan itu mengundang persoalan daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan, termasuk Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, yang berkata [kekurangan penjelasan mencetuskan spekulasi mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan Najib sepanjang tahanan rumah.
“Ada yang kata tidak boleh membuat panggilan telefon, ada yang kata dia mungkin tidak bersama keluarganya, ada yang kata dia akan berada dalam ruang terkurung. Jadi pihak penjara mesti tampil memberikan penjelasan,” katanya.
Najib, 73, kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan jenayah berkaitan SRC International Sdn Bhd.
Dia pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020, sebelum mula menjalani hukuman penjara dua tahun kemudian.
Pada 2024, hukuman penjaranya dalam kes SRC dikurangkan dari 12 tahun ke enam tahun manakala dendanya dikurangkan kepada RM50 juta. Tarikh tamat hukuman penjara kes itu ditetapkan pada 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda.
Pada 18 September tahun ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC secara tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat yang ditetapkan.
Najib turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dalam kes berasingan membabitkan 1MDB, yang diperintahkan bermula selepas hukuman kes SRC selesai.
Pada 14 Oktober, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kes 1MDB sementara menunggu rayuan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/najibrazak1_740838.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.