Hutang 1MDB belum langsai, pinjaman baharu ikut keperluan, kata Anwar
Kerajaan terus menanggung obligasi hutang yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu termasuk liabiliti berkaitan dengan 1MDB, di samping berusaha mengurangkan kebergantungan pada pinjaman baharu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh kedudukan kewangan awam, selain memastikan pembiayaan untuk pembangunan dan perkhidmatan yang penting.
“Hutang negara sememangnya menjadi kontrovesi kerana jumlah keseluruhan hutang bertambah. Betul, kerana hutang lama perlu dibayar.
“Ada yang menyatakan hutang 1MDB, semua sudah dibayar.
“Saya tidak tahu kitab mana yang dibacanya. Tak betul,” katanya pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan masih membayar kadar faedah hutang 1MDB dan hutang-hutang kerajaan sebelum ini.
“Tetapi hutang baharu ini yang penting. Kerajaan yang bertanggungjawab bermakna hanya membuat pinjaman mengikut keperluan untuk menguruskan ekonomi.
“Namun, kita perlu sentiasa merancang lebih awal dan tidak seharusnya membebankan generasi akan datang untuk menanggung perbelanjaan berlebihan pada masa ini,” katanya.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), kerajaan telah membayar sebanyak RM42.5 bilion setakat 31 Ogos 2026 bagi memenuhi komitmen berkaitan 1MDB termasuk pembayaran balik prinsipal, faedah, yuran guaman dan kos operasi.
Jika tidak mendapat semula dana tambahan pada masa depan, kerajaan masih perlu menanggung baki obligasi sebanyak RM20.1 bilion, menurut MoF dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini.
Pada Julai lepas, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata kerajaan masih bertanggungjawab menanggung Nota Jangka Sederhana Islam yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion.
Komitmen itu meliputi bayaran prinsipal sebanyak RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada 2039.
Menurut MoF, tindakan perundangan dan kerjasama antarabangsa akan diteruskan untuk memaksimumkan pemulihan aset 1MDB yang diselewengkan dan mengurangkan beban kewangan negara.
Sementara itu, strategi pengurusan hutang kerajaan memberi tumpuan kepada mengawal pertambahan hutang dan membina semula penampan fiskal, selain terus membiayai pembangunan, dengan menggembleng lebih banyak modal swasta bertujuan mengurangkan kebergantungan pada pinjaman awam.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/5a352e0a0df7eb6873cfe99fb7e08d22.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.