Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini mengumumkan keputusan mereka membatalkan pendaftaran PN.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, ROS memberitahu, langkah tersebut dibuat mengikut Subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

Menurut ROS pihaknya merujuk kepada notis kepada PN yang dikeluarkan pada 22 Sept lalu mengikut subseksyen 13(2) akta tersebut.

Notis itu, kata ROS, memberi peluang kepada PN untuk mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara-perkara yang dinyatakan di dalamnya.

Tambah ROS, maklum balas daripada parti berkenaan kemudian diterima 12 Oktober.

“Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut, serta tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan.

“Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah Subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta 832,” katanya.

Ketika ini PN dianggap menjadi pembangkang utama dengan mengumpulkan PAS, Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia dan - yang terbaru - Wawasan.

Kedudukan satu lagi parti komponennya, Bersatu, pula menjadi pertikaian.

Teroka kerjasama di Selangor

Pembatalan pendaftaran yang diumumkan hari ini dibuat selepas Bersatu mengemukakan aduan yang mereka tidak dijemput menghadiri mesyuarat majlis tertinggi (MT) gabungan tersebut pada 16 Julai.

PN pula sebelum ini menuduh Bersatu cuba melumpuhkan gabungan tersebut dan mendakwa ROS berniat jahat (mala fide) kerana mengeluarkan notis pembatalan pendaftaran sebagai langkah mengenakan tekanan politik kepada mereka.

Keputusan berkenaan dibuat dua minggu sebelum PRN Melaka berlangsung. Dengan ketetapan ROS hari ini gabungan itu tidak akan dapat menggunakan logo mereka dalam pilihan raya tersebut.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula dijadual mendengar permohonan PN untuk menangguhkan perintah pembatalan pendaftaran itu bagi menunggu semakan kehakiman dua hari lagi.

Sebelum ini, mahkamah menolak permohonan penangguhan sementara yang dimohon PN.

Untuk rekod keputusan ROS didakwa mempunyai pengaruh politik bukan sesuatu yang asing.

Pada awal tahun 2023, ROS pernah berhasrat untuk membatalkan pendaftaran Umno kerana parti itu dianggap menghalang pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution Ismail menyelamatkan Umno – parti komponen penting dalam kerajaan Madani yang ketika itu masih baru –menggunakan budi bicaranya selaku Menteri Dalam Negeri.

PN – yang dikuasai PAS – sudah beberapa bulan meminggirkan Bersatu dan pada masa sama gabungan tersebut mendekati Umno.

Bersatu pula sedang meneroka kerjasama sekali lagi dengan PH. Suatu perjanjian keyakinan dan pembekalan melibatkan kedua-dua pihak semakin hampir dimuktamadkan di Selangor.