Pelaksanaan Pelan Persediaan Haji atau Seruan Istito’ah dijangka memendekkan tempoh menunggu untuk menunaikan haji kepada kurang 70 tahun, berbanding kira-kira 150 tahun sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata anggaran itu bergantung pada beberapa faktor dan boleh berubah mengikut keadaan semasa.

Antara faktor berkenaan ialah jumlah pendeposit yang memenuhi syarat simpanan minimum, kuota haji rasmi Malaysia pada masa hadapan serta perkembangan semasa di Tanah Suci.

“Bermula 1 Jan 2029, giliran haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran dalam kalangan mereka yang telah mencapai simpanan minimum RM15,000.

“Bagi mereka yang telah mendaftar tetapi masih belum mencapai paras minimum tersebut, kedudukan mereka akan dimasukkan dalam giliran haji aktif apabila syarat kesiapsiagaan simpanan tersebut dicapai.

“Bagi pendeposit yang telah mendaftar haji, mereka diberikan tempoh peralihan lebih dua tahun hingga 31 Dis 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum RM15,000,” katanya.

Dia menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai anggaran tempoh menunggu bagi pendeposit yang telah mencapai simpanan minimum RM15,000, selain nasib pendeposit yang telah lama berdaftar tetapi simpanan belum mencukupi.

Jawapan bertulis itu disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.

Pada 14 Okt lalu PAS meminta kerajaan memansuhkan penetapan simpanan minimum RM15,000 sebagai syarat kepada pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum menerima tawaran menunaikan ibadah haji.

Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS- Kubang Kerian) menyifatkan cadangan berkenaan akan menyulitkan umat Islam yang bercita-cita untuk menunaikan ibadah haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli sebelum ini berkata penetapan berkenaan adalah langkah positif bagi memastikan bakal jemaah mempunyai persediaan kewangan mencukupi sebelum menunaikan rukun Islam kelima itu.